Minyak masak peket ibarat 'pelaris' kepada peruncit

Eric (tengah) mendakwa pemborong tidak menghadapi masalah kekurangan bekalan pada minggu ini.
Eric (tengah) mendakwa pemborong tidak menghadapi masalah kekurangan bekalan pada minggu ini.
A
A
A

SERI KEMBANGAN - Minyak masak peket bersubsidi yang dijual dengan harga RM2.50 sekilogram mendapat sambutan ramai berikutan harga minyak masak botol mengalami kenaikan sejak kebelakangan ini.

Peniaga kedai runcit, Nurjanah Jamaluddin, 55, bagaimanapun berkata, dia mula menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan minyak masak peket bermula minggu ini.

"Biasanya saya membeli sekotak besar minyak masak peket setiap hari. Tapi pada hari ini sehingga tengah hari, bekalan masih belum dihantar. Bila saya minta untuk membeli lebih, pembekal kata tiada stok.

"Selain itu pembekal menyatakan mereka menerima permintaan lebih tinggi daripada biasa sejak minggu lalu dan tidak dapat memenuhi permintaan tinggi," katanya kepada Sinar Harian ketika tinjauan di sini pada Sabtu.

Seorang lagi peniaga, Ismail Jumadi, 68, berkata, mereka tidak memperoleh keuntungan besar dengan menjual minyak masak peket tetapi diibaratkan sebagai 'pelaris' untuk orang ramai datang ke kedainya.

"Kos sekotak yang mengandungi 17 pek minyak masak peket ialah RM41.50. Kita jual pada harga RM42.50. Tidak untung pun, tapi kalau tak ada minyak masak peket, perniagaan saya seperti 'tak jalan'.

"Pelanggan mahu datang ke kedai mencari minyak masak peket, dalam masa sama turut membeli barangan lain. Tapi kalau minyak masak peket tak ada, mereka tidak akan membeli apa-apa tapi terus pergi ke kedai lain," katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati rata-rata peniaga runcit sekitar kawasan ini mendapatkan bekalan minyak masak peket dan barangan runcit lain daripada pemborong di Kompleks Pasar Borong Selangor di sini.

Artikel Berkaitan:

Tinjauan di Kompleks Pasar Borong Selangor mendapati, stok bekalan minyak masak peket diterima pemborong pula berbeza dalam kalangan mereka sejak minggu lalu.

Nurjanah menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan minyak masak peket ketika tinjauan Sinar Harian di Seri Kembangan pada Sabtu.
Nurjanah menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan minyak masak peket ketika tinjauan Sinar Harian di Seri Kembangan pada Sabtu.

Pengurus di sebuah pusat borong di kompleks berkenaan, Eric Toh, 55, bagaimanapun berkata, bekalan minyak masak peket mencukupi untuk menampung keperluan pelanggannya pada minggu ini.

Namun begitu, katanya, bekalan minyak masak peket satu kilogram di luar kawasan kompleks berkenaan tidak konsisten dan mungkin ada kawasan terputus bekalan itu sejak seminggu lalu.

"Kalau di luar sana, minyak masak mungkin tiada. Tapi ada di Kompleks Pasar Borong Selangor kerana pemborong menerima bekalan minyak masak peket seperti biasa sejak seminggu lalu," ujarnya.

Seorang lagi pemborong yang enggan dikenali berkata, setiap pemborong mendapatkan jumlah stok bekalan berbeza-beza dalam kalangan mereka.

"Tapi ini bukan kerana minyak masak tidak ada, sebaliknya kerana dapat untung besar jadi ada pemborong mengurangkan stok simpanan mereka dan tambah keperluan lain," katanya.

Sementara itu, seorang pengguna hanya mahu dikenali sebagai Azizul, 46, berharap pihak berkuasa meletakkan harga siling bagi minyak masak botol lima kilogram yang dijual di pasaran ketika ini.

"Kasihan dengan keluarga kurang mampu kerana jika minyak masak peket habis, mereka tidak mampu beli minyak masak dalam botol yang harganya lebih RM30," katanya.

Menurutnya, pengguna terkesan kerana pengusaha restoran atau kedai makan membeli minyak masak peket dalam kuantiti yang banyak untuk dijadikan stok, walaupun peruncit mengehadkan hanya dua paket bagi setiap orang.

Bagaimanapun, pandangan Azizul itu disangkal seorang pengusaha makanan, Ernawati Mukdin, 60, yang mendakwa tidak semua peniaga seperti itu, malah dia turut membeli minyak botol walaupun harganya lebih mahal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!