Lebih 2.7 juta populasi remaja negara lengkap divaksin
KUALA LUMPUR - Seramai 2,720,504 individu atau 86.4 peratus daripada populasi remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun di negara ini lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19, setakat 11.59 malam Sabtu.
Berdasarkan data Kementerian Kesihatan menerusi laman CovidNow, seramai 2,829,902 individu atau 89.9 peratus golongan itu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Bagi populasi dewasa pula, sebanyak 22,718,376 individu atau 97 peratus telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 23,046,859 atau 98.4 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.
Dalam pada itu, 67,701 dos suntikan vaksin diberikan pada Sabtu melibatkan 3,902 suntikan dos lengkap, 3,209 dos pertama dan 60,590 suntikan dos penggalak.
Perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini meningkat kepada 54,031,000 dos.
Jumlah kumulatif dos penggalak kini 2,905,809. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!