Operasi feri bawa kereta dihentikan sementara
KUALA KRAI - Berikutan hujan berterusan sejak tiga hari lalu, perkhidmatan feri milik Koperasi Kampung Pasir Kelang Berhad yang membawa kereta menyeberangi Sungai Kelantan di Kuala Krai, di sini tergendala seketika.
Operasi berkenaan terpaksa dihadkan kepada motosikal dan individu sahaja menggunakan bot biasa bagi memastikan keselamatan semasa menyeberangi sungai berkenaan terjamin.
Seorang pemandu bot, Amirul Ashraf Zamrim, 27, memberitahu, operasi membawa feri terpaksa dihentikan kerana keadaan semasa arus yang sangat deras dan boleh membahayakan penumpang.
"Dengan keadaan feri yang ada ini memang membahayakan kami, sebab itu kami tidak berani untuk ambil risiko. Penduduk pun sudah biasa dengan situasi ini.
"Mereka pun faham, bila tiba musim tengkujuh, mereka perlu bersedia menggunakan alternatif lain untuk membawa kereta ke bandar Kuala Krai," katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Kelang, di sini.
Menurutnya, pengangkutan feri menjadi nadi utama kepada kira-kira 15,000 penduduk kampung untuk berulang-alik menyeberang Sungai Kelantan ke bandar Kuala Krai.
Beliau memberitahu, feri yang mampu membawa muatan enam kenderaan, motosikal dan penumpang pada satu-satu masa itu hanya mengenakan bayaran RM1 untuk individu dan RM5 untuk kereta.
"Ia merupakan pengangkutan utama penduduk dari Kampung Pasir Kelang, Pasir Kelang Baru, Buyong Darul Hijrah, Sungai Taku, Taku Estet dan Bahagia ke bandar Kuala Krai.
"Feri ini beroperasi bermula 7 pagi hingga 11 malam setiap hari dan masa perjalanan untuk feri menyeberangi sungai itu lebih kurang lima minit dengan jarak 250 meter.
"Ia turut menggunakan tali kabel keselamatan bagi menghalang ia daripada hanyut. Namun untuk musim tengkujuh, kita hentikan terus untuk bawa kereta. Kita hanya boleh bawa motosikal.
"Keadaan ini akan sentiasa berubah dari semasa ke semasa sebab kita akan bertindak berdasarkan paras air utama di Sungai Kelantan. Biasanya ambil masa tiga hingga empat hari sebelum kembali beroperasi sepenuhnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!