KPDNHEP jamin bekalan minyak masak peket cukup

Hasnol Zam Zam (kanan) ketika meninjau PJKM di Tapak Pasar Tani Paroi Jaya, Seremban pada Ahad.
Hasnol Zam Zam (kanan) ketika meninjau PJKM di Tapak Pasar Tani Paroi Jaya, Seremban pada Ahad.
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan minyak masak peket 1 kilogram mencukupi bagi menampung permintaan pengguna di dalam negara ini.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, isu kekurangan minyak peket sepatutnya tidak timbul berikutan kerajaan memperuntukkan 60,000 matrik tan setiap bulan untuk diedarkan di seluruh negara.

"Kita telah melantik pengedar dan pengilang di seluruh negara mengikut kuota yang ditetapkan bagi setiap penduduk.

"Berdasarkan kepada data-data yang kita ada, isu agihan kuota minyak masak tiada masalah cuma ada masa berlaku sedikit gangguan lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik Covid-19.

"Kadang-kala kilang terpaksa menutup operasi disebabkan pekerja positif Covid-19, pemandu lori, pengedar, gudang-gudang ada masa ditutup tetapi semua ini bersifat sementara," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Tapak Pasar Tani Paroi Jaya, Seremban pada Ahad.

PJKM menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga rendah sehingga 20 peratus.
PJKM menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga rendah sehingga 20 peratus.

PJKM di Negeri Sembilan akan diteruskan di beberapa lokasi dikenal pasti antaranya, tapak letak kereta Lotus, Seremban Jaya, tapak letak kereta Forest High, Senawang Taman Mawar.

PJKM menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga rendah sehingga 20 peratus antaranya ayam, telur, sayur-sayuran, gula serta minyak masak dan ia akan diteruskan sehingga Februari tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Hasnol menjelaskan tiada isu berhubung kekurangan minyak masak peket yang dikatakan disorok oleh pihak-pihak tertentu kerana kementeriannya mempunyai maklumat dan data bagi setiap rantaian pengedaran.

"Tiada kaitan dengan sorok sebab kita tahu siapa yang mengilang, mengedar, memborong dan setiap hari kita dapatkan data dan maklumat daripada mereka ini untuk mengetahui barangan bekalan mencukupi.

"Kalau di peringkat kilang, data yang mereka beri itu kurang dari kebiasaan... jadi kita akan tanya kenapa dan apa masalah... kita akan selesaikan," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Hasnol berkata, beliau melihat situasi kenaikan harga sayur di pasaran adalah bersifat sementara.

"Saya melihat situasi ini bersifat sementara kerana kita dalam musim tengkujuh antara bulan November hingga bulan Mac ataupun Februari.

"Selepas itu mengikut rekod kita saban tahun, situasi ini akan pulih dari segi harga di mana ketika itu cuaca lebih stabil, maka lebih banyak petani membuat penanaman dan sebagainya.

"Biasanya ketika itu harga akan kembali normal. Itu data-data yang kita ada di kementerian iaitu yang buat pemantauan sepanjang masa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!