Ajal nelayan dalam bot

Mayat mangsa yang ditemui dalam bot di jeti nelayan Kampung Nibong, Dungun diusung anggota polis untuk dibawa ke Hospital Dungun. (Gambar kecil: Mohd Azmi Sulaiman)
Mayat mangsa yang ditemui dalam bot di jeti nelayan Kampung Nibong, Dungun diusung anggota polis untuk dibawa ke Hospital Dungun. (Gambar kecil: Mohd Azmi Sulaiman)
A
A
A

DUNGUN - Seorang nelayan yang sudah tiga hari tidur dalam bot kerana membaiki enjin bot yang rosak ditemui meninggal dunia dalam bot berkenaan yang berlabuh di jeti nelayan Kampung Nibong, di sini, semalam.

Mohd Azmi Sulaiman, 48, yang berasal dari Kuantan, Pahang ditemui dalam keadaan terbaring dan sudah tidak bernyawa oleh majikannya kira-kira jam 4 petang.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, majikannya yang risaukan keadaan mangsa yang tidak keluar makan sejak pagi mencarinya di bot berkenaan.

Menurutnya, pada awalnya majikan itu menyangka Mohd Azmi sedang tidur lalu cuba mengejutkannya beberapa kali namun lelaki itu kaku dan tidak memberi sebarang tindak balas.

"Majikan mangsa kemudian menghubungi talian kecemasan sebelum pegawai perubatan tiba dan mengesahkan mangsa yang sudah tiga tahun bekerja dengannya itu sudah meninggal dunia.

"Sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun bergegas ke lokasi pada jam 5.40 petang selepas menerima laporan," katanya.

Bagaimanapun, Baharudin berkata, pemeriksaan lanjut terhadap mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Difahamkan mangsa menghidap penyakit paru-paru berair dan pada hari kejadian sepatutnya dia bertemu doktor pakar di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang.

Artikel Berkaitan:

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!