Presiden Korea Selatan tiba di Malaysia
SEPANG - Presiden Korea Selatan Moon Jae-in tiba di sini hari ini untuk lawatan negara di Malaysia sehingga Khamis.
Pesawat khas yang membawa Moon serta pasangannya Kim Jung-sook mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.40 tengah hari.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah selaku menteri pengiring, bersama dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking, berada di lapangan terbang bagi menyambut ketibaan Presiden Korea Selatan itu,
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, lawatan itu dijangka akan meningkatkan lagi hubungan Kuala Lumpur-Seoul di samping meletakkan asas baharu bagi hubungan dua hala antara negara untuk berkembang.
Semasa lawatan ini Presiden Moon dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam satu majlis khas di Parlimen, Rabu, dan diikuti jamuan negara yang dihoskan oleh Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Wisma Putra berkata, President Moon bakal menjadi ketua negara pertama menghadiri majlis yang dihoskan oleh Yang di-Pertuan Agong sejak baginda menaiki takhta pada 31 Januari lepas.
Lawatan negara terakhir oleh Presiden Korea Selatan ke Malaysia adalah semasa Presiden Lee Myung-bak berada di sini dari 9 hingga 10 Disember 2010, bagi memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara dua negara.
President Moon akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad esok bagi membincangkan pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama, menurut Wisma Putra.
President Moon dan Dr Mahathir juga akan menyaksikan majlis menandatangani empat memorandum persefahaman mengenai kerjasama industri yang berkaitan dengan Revolusi Industri Ke-empat (Industri 4.0), kerjasama dalam bidang pengangkutan dan pembangunan Smart City di Malaysia, di samping kerjasama dalam industri halal.
Tahun lepas perdagangan dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan mencatatkan peningkatan 7.2 peratus kepada USD17.98 bilion (RM72.60 bilion), berbanding USD15.76 bilion (RM67.71 bilion) pada tahun 2017.
“Korea Selatan adalah rakan kongsi perdagangan global ke-lapan terbesar bagi Malaysia, dan Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke-13 terbesar pada tahun 2018, manakala Malaysia pula adalah rakan dagangan ke-14 terbesar Korea Selatan bagi tempoh yang sama,” katanya.
Wisma Putra juga berkata, dari Januari hingga September 2018, sejumlah 463,004 pelancong dari Korea Selatan telah melawat Malaysia, yang merupakan peningkatan 33.1 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2017. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!