Sindiket seludup migran didalangi 'Janggut' tumpas
JOHOR BAHRU - Polis Johor berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran warga Indonesia melalui Sungai Tengah Bandar Penawar, Kota Tinggi yang didalangi seorang lelaki warga asing dikenali Joni Aripin@Janggut.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, menerusi operasi yang dijalankan cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Rabu dan Khamis lalu, seramai 12 individu berusia 22 hingga 50 tahun ditahan di Johor Bahru dan Kulai.
Menurutnya, 10 warga Indonesia yang ditahan bertindak sebagai tekong darat, pengangkut serta penjaga penampungan dengan dibantu dua warga tempatan.
"Sindiket ini dipercayai aktif sejak April lalu di kawasan Sungai Tengah, Bandar Penawar Kota Tinggi di mana ketua mereka, Janggut dibantu dua orang kanan iaitu Muhidin@Muhit dan Gern@Galang.
"Sindiket ini mengenakan bayaran sebanyak RM1,500 di mana RM250 sebagai wang pantai Malaysia dan RM700 perlu dibayar sebaik tiba di pantai Batam atau Tanjung Pinang Indonesia, manakala selebihnya bayaran penampungan.
"Dianggarkan 465 migran dibawa masuk ke negara ini, manakala 150 migran keluar dari negara ini melibatkan 15 pendaratan bot di Sungai Tengah Bandar Penawar Kota Tinggi," katanya ketika sidang akhbar di IPK Johor pada Ahad.
Ayob Khan berkata, kesemua suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- langkah Khas) 2012 Sosma dan Seksyen 26 ( A) Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.
Katanya, bermula Januari hingga 3 Disember seramai 252 orang terdiri daripada 62 tekong darat dan 192 migran warga Indonesia, Bangladesh dan China ditahan menerusi Op Benteng.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!