Kelulusan guru tukar tempat kerja catat rekod tertinggi dalam sejarah

Mohd Radzi (empat dari kanan) ketika menyempurnakan gimik perasmian Akademi Sains Pendang di Jalan Jenun pada Ahad.
Mohd Radzi (empat dari kanan) ketika menyempurnakan gimik perasmian Akademi Sains Pendang di Jalan Jenun pada Ahad.
A
A
A

PENDANG - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 11,469 atau 55 peratus daripada 20,772 permohonan guru untuk bertukar tempat kerja akan diluluskan dalam pengumuman secara rasmi pada Isnin.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, peratus pertukaran guru pada tahun ini merupakan antara yang tertinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Menurutnya, purata kelulusan pertukaran sejak 2017 hingga 2020 hanya mencatatkan peratusan antara 22 hingga 31 peratus.

"Ini adalah pendekatan baharu yang kita ambil pada tahun ini bagi membolehkan lebih ramai guru dapat bertukar tempat kerja seperti dihasratkan mereka.

"Kita juga turut mengambil kira pengambilan seramai 18,702 yang sedang dijalankan. Sebelum guru-guru ini ditempatkan, maka kita selesaikan dulu pertukaran guru sedia ada," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Akademi Sains Pendang di Jalan Jenun di sini pada Ahad.

Menurutnya, kementerian turut memberi tumpuan kepada golongan guru dari Semenanjung yang sudah lama bertugas di Sabah, Sarawak dan Labuan.

"Dalam permohonan mereka ada yang menyatakan hasrat untuk kembali ke Semenanjung atas faktor tertentu termasuk kos.

"Maka jika negeri atau kawasan yang dipohon mereka itu sudah penuh sekali pun, pihak kementerian akan tempatkan mereka di kawasan atau negeri terdekat dengan tempat dipohon," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Radzi berkata, guru- guru yang mengajar subjek di luar bidang mereka juga akan diambil pendekatan untuk disesuaikan dengan bidang sepatutnya.

"Kita harap usaha yang dilakukan mampu menggembirakan para guru terbabit selain mengurangkan tekanan dihadapi mereka terutamanya yang berada berjauhan dari pasangan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!