Had umur belia: Menteri jumpa pemimpin belia minggu depan

Ahmad Faizal menyampaikan ucapan ketika meninjau perjalanan Persidangan Dewan Belia Perak yang berlangsung di Hotel Casuarina@Meru di sini pada Ahad.
Ahmad Faizal menyampaikan ucapan ketika meninjau perjalanan Persidangan Dewan Belia Perak yang berlangsung di Hotel Casuarina@Meru di sini pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin belia pada minggu hadapan berkaitan pelaksanaan Akta 668 melibatkan penurunan had umur belia kepada 30 tahun.

Ahmad Faizal berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Johar sebelum mengenai perkara tersebut.

Menurutnya, pelaksanaan had umur belia dari 40 tahun kepada 30 tahun bukan satu isu memandangkan akta tersebut sudahpun diwartakan di Parlimen.

"Saya mendapati setiap pertubuhan belia mungkin ada masalah tersendiri. Mungkin kita akan cari jalan bagaimana kita boleh mencari titik pertemuan agar akta ini dapat dilaksanakan.

"Dalam masa yang sama, permasalahan untuk soft-landing kepada penyelesaian masalah pertubuhan belia dapat kita rungkaikan bersama," katanya kepada kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Peringkat Kebangsaan di Hotel Casuarina@Meru di sini pada Ahad.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Ramona Mohd Razali dan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Datuk Dr Wasitah Mohd Yusof.

Ahmad Faizal sebelum itu turut meluangkan masa melihat perjalanan Persidangan Dewan Belia Perak dan menyampaikan ucapan pada persidangan tersebut yang berlangsung di lokasi sama.

Pada 17 November lalu, Ahmad Faizal mengumumkan di Parlimen bahawa pelaksanaan akta menghadkan umur untuk memegang jawatan dalam persatuan belia daripada 40 ke 30 tahun akan bermula 1 Januari tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu bagaimanapun mendapat bantahan pertubuhan belia yang mahu supaya kerajaan tidak terburu-buru melaksanakan akta berkenaan.

Susulan itu juga MBM turut menghantar memorandum bantahan mengenai keputusan tersebut kepada Kementerian Belia dan Sukan pada 25 November lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!