Bersatu di ambang bahaya jika gagal tonjol kelainan: Penganalisis
KUALA LUMPUR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat berada di ambang bahaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), jika gagal menonjolkan perbezaan atau kelainan dasar dengan parti nasionalisme Melayu seperti UMNO.
Penganalisis Politik, Profesor Wong Chin Huat menjelaskan, realitinya Bersatu sukar untuk bertahan kerana produknya yang seakan-akan sama dengan parti terbesar Melayu itu.
Pun begitu katanya, melihat pada kemenangan parti yang ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu mengatasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini menunjukkan slogan anti rasuah yang dibawa parti itu berjaya menawan segelintir pengundi.
"Sebagai contoh parti yang paling bahaya adalah Bersatu kerana terlalu sama dengan UMNO.
"'Maka dia (Bersatu) perlu menunjukkan perbezaannya. Di (PRN) Melaka, Bersatu mendahului PKR dengan memenangi dua kerusi.
"Bersatu membawa mesej anti rasuah, ini menunjukkan ada pengundi yang marah kepada perasuah, namun demikian dalam medan perang yang lebih besar iaitu PRU15, Bersatu tidak akan berjaya dengan hanya slogan atau poster menarik.
"Mereka perlu ada pendirian yang lebih mendalam," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Chin Huat menegaskan, kalau benar Bersatu memperjuangkan isu anti rasuah, maka parti itu perlu bermula dengan melakukan reformasi di Jabatan Peguam Negara.
"Ini kerana ia (Jabatan Peguam Negara) adalah antara penyebab utama berlakunya fenomena dua darjat, di mana golongan 'kayangan' dilepaskan jika melanggar prosedur operasi standard (SOP), manakala orang awam pula dikenakan denda," tambahnya. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!