[VIDEO] Rakyat lega adanya Jualan Keluarga Malaysia
SEREMBAN - Jualan barangan pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Tapak Pasar Tani Paroi Jaya di sini ternyata memberi kelegaan kepada penduduk setempat terutamanya golongan berpendapatan rendah.
Penduduk dari Taman Melati Indah, Jalan Senawang, Paroi, Mohd Nasir Ismail, 60, berkata, program tersebut wajar diteruskan pada masa akan datang susulan banyak membantu rakyat terutamanya dalam suasana negara yang berdepan dengan pandemik Covid-19.
"Ramai yang terjejas ketika ini, maka dengan adanya jualan murah seperti ayam, ikan, telur, sayur-sayuran dapatlah meringankan beban rakyat.
" Jadi saya berharap sangat agar program ini dilaksanakan dengan lebih kerap dan dikekalkan sehingga bila-bila," katanya ketika ditemui Sinar Harian ketika PJKM di sini pada Ahad.
Penduduk dari Senawang, Widiati Rohman, 42, turut melahirkan rasa teruja apabila program berkenaan diperluas ke Negeri Sembilan.
"Banyak juga yang saya beli hari ini (Ahad), barangan murah-murah seperti telur ayam RM5 satu papan.
"Saya menyokong agar program ini dikekalkan kerana saya juga dalam kalangan golongan yang berpendapatan rendah," katanya.
Sementara itu, seorang pengunjung dari Seremban 2, Nuur Liyana Hassan, 34, berkata, dia dapat membeli barang keperluan harian dengan harga murah malah keluarganya dapat menyimpan stok makanan secukupnya.
"Alhamdulillah satu kelegaan buat saya kerana sebagai peniaga kuih, dan sarapan pagi, saya memerlukan stok bekalan mentah yang agak banyak seperti makanan basah," katanya.
PJKM yang dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis lepas kini diperluas ke seluruh negara bermula Sabtu.
PJKM yang dikendalikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diadakan sebagai inisiatif kerajaan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutamanya dalam kalangan penduduk berpendapatan rendah dengan menawarkan barangan keperluan harian pada harga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran setempat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!