Mangsa banjir di Rantau Panjang kekal 33 orang pagi ini
KOTA BHARU - Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Rantau Panjang dekat Pasir Mas di sini yang mula dibuka sejak Sabtu lepas, kekal 33 orang setakat jam 9 pagi ini.
Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Jajahan Pasir Mas, Azizan Aziz berkata, 33 mangsa daripada enam keluarga itu termasuk seorang warga emas dan 12 kanak-kanak ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh.
“Semua mangsa masih di PPS berikutan banjir belum pulih yang berkemungkinan disebabkan fenomena air ‘termenung’ di penempatan mereka dan kita berharap cuaca semakin baik agar mangsa dapat pulang ke kediaman masing-masing,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, pada Isnin.
Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran negeri memaklumkan, setakat jam 9 pagi ini, Sungai Golok di Rantau Panjang merekodkan bacaan melebihi paras waspada iaitu 7.54 meter (waspada 7 meter) dengan trend menurun. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!