Ribut: Jeritan kawan masih terngiang-ngiang

Abdul Aziz (kanan) berbual dengan Naimah mengenai kerosakan Pusat Islam PSAS yang dipukul ribut semalam.
Abdul Aziz (kanan) berbual dengan Naimah mengenai kerosakan Pusat Islam PSAS yang dipukul ribut semalam.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Jeritan penghuni asrama perempuan blok V1 Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Behrang, masih terngiang-ngiang di telinga pelajar yang berada di kediaman ketika itu.

Dalam kejadian ribut yang pertama kali berlaku petang semalam meninggalkan kesan kepada penghuni asrama yang baharu sahaja berehat selepas pulang dari kuliah sekitar jam 6 petang.

Bagi penghuni blok V1, Nurul Hazwani Ahmad, 22, ketika kejadian dia berada di bilik bersama seorang lagi rakannya sedang berehat selepas tamat kelas.

"Pada mulanya hanya angin kuat di luar, tapi kami tak hiraukan tapi bunyi angin tu makin kuat hingga terdengar jeritan rakan-rakan asrama seorang demi seorang.

"Saya terus buka pintu untuk melihat apa yang berlaku dan masa itu hujan lebat dan angin terlalu kuat," katanya yang terpaksa meminta bantuan kawan untuk sama-sama menutup pintu bilik mereka.

Nurul Hazwani berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di PSAS, di sini, hari ini.

Seorang lagi penghuni blok V1, Wan Fatimatuzzarah Noor Azman, 23, melahirkan rasa syukur kerana dia dan rakan-rakan asrama lain tidak cedera semasa kejadian ribut berkenaan.

"Bilik saya di bahagian atas, jadi memang akan dengar bila bunyi serpihan bumbung tercabut dan jatuh pecah ke lantai bawah dibawa angin selain dari jeritan kawan-kawan lain.

Artikel Berkaitan:

"Saya tak berani nak buka tingkap untuk tengok dan hanya mampu membaca al-Quran untuk menghilangkan rasa takut," katanya.

Wan Fatimatuzzarah (kanan) dan Nurul Hazwani (kiri) memegang makanan serta pakaian yang diambil dari bilik mereka selepas diarahkan berpindah ke Pusat Islam.
Wan Fatimatuzzarah (kanan) dan Nurul Hazwani (kiri) memegang makanan serta pakaian yang diambil dari bilik mereka selepas diarahkan berpindah ke Pusat Islam.

Bagi Pengarah PSAS, Dr Naimah Md Khalil mengakui masih terkejut dengan kejadian yang berlaku memandangkan PSAS tidak pernah mengalami bencana ribut hingga menyebabkan kerosakan yang banyak serta teruk.

"Saya sangat terkejut dan tak sangka perkara ini berlaku, namun bersyukur kerana tiada pelajar cedera.

"Cuma saya sedih bila dimaklumkan salah seorang pengawal keselamatan menerima 10 jahitan di dahi selepas ditimpa bumbung ketika sedang bertugas dalam kejadian terbabit," katanya.

Menurut Naimah, sekurang-kurangnya tujuh blok bangunan mengalami kerosakan dalam kejadian ribut berkenaan melibatkan tiga blok asrama pelajar, dua blok akademik iaitu Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Pusat Islam PSAS, serta bangunan kiosk perniagaan pelajar.

"Jumlah kerosakan belum diterima lagi kerana kami masih menunggu laporan daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pelajar-pelajar terlibat telah dipindahkan ke Pusat Islam PSAS untuk sementara waktu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ribut: Tiga blok asrama politeknik terjejas

Sementara itu, Exco Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, kerajaan negeri akan melakukan yang terbaik dalam menjaga kebajikan pelajar-pelajar PSAS.

"Ibu bapa pelajar jangan risau kerana setakat ini kebajikan anak-anak anda masih dijaga baik oleh pihak PSAS dan mereka tidak perlu dihantar pulang memandangkan sesi pembelajaran masih berjalan.

"Kerajaan negeri bersama pihak PSAS akan melakukan yang terbaik dalam memastikan kerja-kerja pembaikan bangunan yang rosak dapat dijalankan dengan bantuan kementerian," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!