Laungan 'Hidup Abang Jo, Hidup GPS' sambut ketibaan Abang Johari
GEDONG - Pengerusi Parti Gabungan Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg tiba di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Masyarakat Gedong, di sini kira-kira 8.50 pagi.
Ketua Menteri Sarawak itu, yang akan bertanding di kerusi baharu, iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) N26 Gedong diiriingi pencadang, Datuk Naroden Majais dan penyokong, Mohd Najib Arbi.
Naroden adalah bekas ADUN Gedong sejak 1991, dan telah memberi laluan kepada Abang Johari untuk bertanding di kerusi tersebut.
Abang Johari merupakan penyandang kerusi DUN Satok dan telah mewakili kerusi tersebut sejak sembilan penggal lalu.
Terdahulu, ketibaan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu disambut meriah oleh para penyokong yang berada di sekitar kawasan tersebut, dengan laungan 'Hidup Abang Jo, Hidup GPS'.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hanya calon, pencadang dan penyokong calon dibenarkan masuk ke PPC bagi mengemukakan kertas pencalonan calon.
Sementara, penyokong parti politik yang diwakili bakal calon tidak dibenarkan masuk, begitu juga sebarang aktiviti berkumpul dan perarakan penyokong calon bertanding tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang hari penamaan calon.
ARTIKEL BERKAITAN: PRN Sarawak: Aktiviti rentas negeri berkempen tidak dibenarkan
Dalam perkembangan sama, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Tomson Ango turut dilihat tiba di PPC pada 8.29 pagi.
Ia diikuti calon Parti Amanah Negara (Amanah), Kamal Bujang pada pukul 8.40 pagi.
Seorang lagi calon yang berada di PPC Dewan Masyarakat Gedong ialah Mohamad Sofian Fariz Sharbin dari Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Pegawai Pengurus Pilihan Raya N.26 Gedong, Abdul Khalid Manap dijangka mengumumkan senarai calon penuh pada pukul 11 pagi.
Terdahulu, sebanyak 82 PPC dibuka mulai 9 pagi hingga 10 pagi. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!