Pelajar terima pencen penakat hasil caruman Perkeso Allahyarham ibu
IPOH – Kehilangan kedua ibu bapa buat selamanya bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi terpaksa hidup sebatang kara ketika usia yang masih muda.
Buat Maizatul Akmal Mahat, 19, kehilangan kedua-dua tempat bergantung dalam kehidupannya hanya dalam tempoh selang lima tahun cukup memeritkan.
Hidupnya kini bertambah sunyi selepas pemergian ayahnya, Mahat Muda akibat angin ahmar pada Februari tahun lalu.
Sebelum itu, ketika dia baru menginjak ke usia 13 tahun, ibunya, Salmah Mohd terlebih dahulu meninggalkan mereka sekeluarga akibat penyakit kencing manis.
“Sebenarnya paling memberi kesan selepas ayah meninggal dunia pada tahun lalu sebab niat saya nak sambung belajar untuk membanggakan dia. Allahyarham emak dan ayah memang sangat menyokong apa sahaja yang saya lakukan.
“Apabila mereka tiada, saya memang agak terkesan kerana tiada lagi tempat bergantung dan pembakar semangat.
“Mahu atau tidak, saya pujuk diri untuk kuatkan semangat, sebab siapa lagi nak tolong kalau bukan diri sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, situasi itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada kehidupannya terutama apabila ingin menyambung pengajian ijazah dalam bidang Kejuruteraan Kimia di sebuah institusi pengajian tinggi di Tronoh, Perak.
Maizatul juga sebelum ini diuji apabila kehilangan satu-satunya abang kandung akibat nahas kemalangan jalan raya, pada tahun 2010.
Dugaan anak bongsu daripada dua beradik itu, bagaimanapun sedikit terubat apabila nasibnya mendapat perhatian Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Pegawai Skuad Perkeso Prihatin Negeri Pahang, Nur Farhana Abdul Raffar yang menguruskan kes tersebut berkata, semakan pihaknya mendapati Maizatul Akmal layak menerima faedah di bawah Perkeso.
Dia turut menjelaskan pihaknya mendapat maklumat mengenai kisah malang anak yatim piatu yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu menerusi aplikasi WhatsApp.
Berita tersebut tular apabila Maizatul dilaporkan memerlukan sumbangan bagi menyambung pengajiannya.
Sejurus itu, pihak Perkeso segera melawat pelajar tersebut di kediamannya bagi menyampaikan sumbangan bantuan hasil kutipan derma kilat.
Pihaknya mendapatkan maklumat lanjut mengenai kedua-dua ibu bapa pelajar tersebut bagi membantu dalam semakan status kelayakan mereka di bawah perlindungan Perkeso.
Jelas Nur Farhana, Perkeso menyerahkan bantuan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 kepada Maizatul pada hari yang sama. Waris pelajar itu turut menerima bayaran pertama bagi faedah Pencen Penakat RM25,117.28.
Bantuan yang diterima daripada Perkeso itu, sedikit sebanyak membantu meringankan beban kewangan yang perlu ditanggung Maizatul ketika melanjutkan pengajian di menara gading.
Selain menerima sumbangan faedah Pencen Penakat hasil caruman Allahyarham ibunya, agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia itu turut membantu mahasiswa yang berasal dari Kuantan, Pahang tersebut untuk menguruskan urusan pembelajarannya.
“Saya sentiasa memantau dan menghubungi adik Maizatul untuk memberi sokongan emosi, membantunya dalam urus biasiswa dan memantau keputusan peperiksaannya setiap semester, sehinggalah ke hari ini.
“Kita akan cuba membantu sedaya upaya untuk memenuhi segala keperluannya, selain memastikan faedah Pencen Penakat yang disalurkan diterima adik Maizatul setiap bulan.
“Selepas dia habis belajar nanti, Portal Pekerjaan Nasional, MYFutureJobs di bawah seliaan Perkeso juga tersedia untuk membantu dia mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian mengikut kelayakan akademiknya.
“Ketika ini, ALLAH turunkan hujan buat adik ini, namun ada warna-warni pelangi yang menyinar dia di seberang sana,” katanya.
Muat turun aplikasi Prihatin Perkeso melalui App Store/Google Play, hubungi 1-300-22-8000 atau layari laman sesawang Perkeso untuk sebarang perkhidmatan atau maklumat lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!