Rangnick kagum dengan persembahan United

Rangnick
Rangnick
A
A
A

[DIKEMASKINI] PENGURUS sementara Manchester United yang baharu, Ralf Rangnick kagum dengan cara pasukannya menyesuaikan diri dengan taktikal yang baharu selepas mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Crystal Palace dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad.

Gol tunggal United pada minit ke-77 yang dijaringkan oleh Fred membolehkan Rangnick menang dalam perlawanan pertamanya di Old Trafford.

Pada perlawanan itu, United berjaya menghasilkan tekanan yang lebih agresif, selaras dengan pilihan Rangnick, pada awal permainan.

"Saya sangat gembira dengan cara pasukan beraksi, terutamanya separuh masa pertama, dengan tekanan, ia adalah luar biasa.

"Satu-satunya perkara yang hilang ialah 1-0 atau 2-0. Cara kami bertahan, mengawal keseluruhan permainan, tanpa bolos adalah antara elemen yang penting.

"Ini adalah perkara yang perlu kami perbaiki. Kami perlu mengekalkan rekod bersih. Meskipun mereka hanya bersama saya dalam satu sesi latihan, saya benar-benar kagum. Kami melakukan lebih baik daripada jangkaan," katanya.

Dalam pada itu Rangnick berkata, dia lebih memilih sistem yang 'sempit' dengan Marcus Rashford dan Cristiano Ronaldo bermain di bahagian serangan, manakala Jadon Sancho dan Bruno Fernandes beraksi di belakang mereka.

"Kami mahu bermain dengan dua penyerang, terutamanya di posisi tengah. Usaha Cristiano Ronaldo ketika tidak memegang bola sangat mengagumkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Rangnick lagi, dia merasakan terdapat unsur-unsur positif yang cukup untuk memberinya keyakinan untuk masa depan United.

"Ia sentiasa lebih mudah untuk membina sesuatu selepas anda berjaya. Kami mesti menghasilkan lebih banyak rekod bersih dan menjadi lebih baik dalam mencipta peluang untuk serangan kami.

"Secara keseluruhan, saya sangat gembira dengan cara kami bermain hari ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!