Abdul Karim pertahan kerusi Asajaya ditentang tiga calon lain
ASAJAYA - Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah bersaing dengan tiga lagi calon dalam perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, 18 Disember ini.
Mempertahankan kerusi Asajaya untuk empat penggal sejak 2001, Abdul Karim, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu akan ditentang Ishak Buji daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), Mohamad Mahdeen Saharuddin calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan calon PKR Mahmud Ipah.
Senarai calon yang layak bertanding diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Asajaya Rais Ahmad selepas proses penamaan selesai pada jam 10 pagi.
Sebelum itu, Abdul Karim tiba di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Utama Sekolah Menengah Kebangsaan Asajaya No.2 pada jam 8.58 pagi untuk menyerahkan borang pencalonannya.
Pada PRN11, Abdul Karim yang merupakan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bertanding atas tiket Barisan Nasional-PBB menang majoriti 6,163 undi menewaskan Abang Junaidi Abang Gom (PKR) dalam pertandingan satu lawan satu. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!