Bank digesa tangguh tindakan terhadap PKS gagal bayar pinjaman
KUALA LUMPUR - Persatuan PKS Malaysia menggesa bank komersial agar tidak mengenakan tindakan undang-undang terhadap Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang gagal membayar balik pinjaman mereka kerana telah terjejas teruk disebabkan pandemik Covid-19.
Persatuan itu yang menyatakan sokongan kepada seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya bank komersial tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap peniaga kecil dan penjaja yang gagal membuat bayaran balik pinjaman berkata, PKS perlu diberikan peluang yang sama bagi membolehkan mereka pulih dan menyumbang secara positif kepada ekonomi sebenar dan pasaran kewangan.
Dalam kenyataan pada Isnin, persatuan itu berkata, kebanyakan perniagaan hampir tidak dapat bertahan atau cuba memperbaiki aliran tunai mereka.
“Aktiviti perniagaan rancak dalam tempoh November hingga Februari. Tempoh ini akan menggalakkan perniagaan untuk pulih, meningkatkan pekerjaan dan merangsang pertumbuhan.
“Penangguhan tindakan undang-undang kepada PKS, serta membenarkan mereka menangguhkan bayaran hutang matang akan membolehkan lebih banyak perniagaan dapat menampung perbelanjaan operasi dan bayaran faedah melalui penampan tunai dan perolehan mereka pada masa akan datang,” katanya.
Persatuan PKS Malaysia berkata, pandemik telah memberikan tekanan yang besar kepada penampan tunai korporat.
“Berikutan sekatan pergerakan ekonomi akibat pandemik, beberapa perniagaan telah menutup perniagaan mereka atau hampir tidak dapat bertahan. Mujurlah pembukaan semula aktiviti ekonomi dan sosial pada pertengahan Ogos telah menambah baik sentimen perniagaan,” katanya.
Presiden kebangsaan persatuan, Ding Hong Sing berkata, campur tangan dasar adalah penting bagi menghindari akibat negatif kepada ekonomi sebenar dan pasaran kewangan.
“Dengan memberi jaminan atau peningkatan kredit, kerajaan boleh memudahkan tindakan penangguhan bayaran hutang kemudahan kredit dan ini akan mengurangkan keperluan modal bank apabila perniagaan menggunakannya.
“Penangguhan kepada PKS ini akan membolehkan mereka untuk pulih dalam tempoh yang giat ini. Secara keseluruhannya, ia akan menyumbang secara positif kepada ekonomi sebenar, pasaran kewangan, dan institusi kewangan,” katanya.
Pada 3 Disember, Ismail Sabri berkata, bank wajar mencontohi inisiatif institusi kewangan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi seperti Bank Rakyat dan SME Bank yang tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap golongan itu jika gagal membuat bayaran balik sehingga Jun 2022.
Perdana Menteri berkata, institusi kewangan lain di bawah kerajaan seperti Bank Simpanan Nasional dan Bank Pembangunan Malaysia Bhd juga diminta membuat pertimbangan sewajarnya kerana golongan peniaga mikro terkesan dan terbeban akibat pandemik Covid-19.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!