Arab Saudi perinci syarat pemberian status 'imun' pengembara luar

Pengembara dari seluruh dunia yang mendapat dua dos vaksin Sputnik V dan dos tambahan yang diluluskan, akan diberi status yang sama dan dibenarkan memasuki Arab Saudi mulai 1 Januari 2022.
Pengembara dari seluruh dunia yang mendapat dua dos vaksin Sputnik V dan dos tambahan yang diluluskan, akan diberi status yang sama dan dibenarkan memasuki Arab Saudi mulai 1 Januari 2022.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (MoH) Arab Saudi pada Isnin mengeluarkan kemas kini definisi status ‘imun’ dan kriteria pemberiannya di aplikasi Tawakkalna bagi pengembara luar yang datang sama ada untuk lawatan sosial atau haji dan umrah.

MoH yang berkongsi infografik mengenai hal ini menerusi Twitternya menyatakan bahawa penerima dua dos vaksin Sinopharm, Sinovac dan Covaxin diberi status ‘imun’ bermula 1 Disember 2021 dan dibenarkan memasuki negara berkenaan, dengan syarat perlu mengambil dos tambahan yang diiktiraf sama ada Pfizer, AstraZeneca, Johnson & Johnson atau Moderna.

MoH turut mengumumkan pengembara dari seluruh dunia yang mendapat dua dos vaksin Sputnik V dan dos tambahan yang diluluskan, akan diberi status yang sama dan dibenarkan memasuki Arab Saudi mulai 1 Januari 2022.

Syarat lain yang perlu dipatuhi adalah membuat ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dengan keputusan negatif dalam tempoh 72 jam sebelum tiba ke negara itu.

Kuarantin wajib di institusi kuarantin selama tiga hari diperlukan untuk pengembara luar yang diimunisasi dengan dua dos vaksin yang dinyatakan.

Pengembara juga perlu menjalani ujian makmal PCR dengan keputusan negatif 48 jam selepas tiba di negara berkenaan.

Pendekatan baharu itu diambil susulan kebimbangan terhadap penularan varian baharu Covid-19.

Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi baru-baru ini mengumumkan semua warga dan penduduk negara itu diwajibkan mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 bermula 1 Februari tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Menurut sumber Kementerian berkenaan dos penggalak itu diperlukan untuk penduduk mendapatkan status 'imun' di aplikasi Tawakkalna.

Status 'imun' diperlukan bagi sesiapa yang ingin menghadiri sebarang acara sosial, ekonomi, komersil, kebudayaan, hiburan atau sukan di negara itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!