UMNO perlu bijak tafsir muafakat yang jujur

 Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan partinya itu perlu bijaksana mentafsir antara muafakat yang jujur berbanding sebuah muafakat yang terselindung tipu daya.

Katanya, ini berikutan ada pihak mencipta pelbagai alasan baharu untuk menjustifikasikan kononnya UMNO tidak mematuhi piagam Muafakat Nasional.

Tambah beliau, sikap itu merupakan alasan politik, ibarat menukar fatwa mengikut selera politik pihak terbabit.

“Seseorang yang bergelar ulama harus mengikut 'nas' yang sahih bukan memanipulasi hukum mengikut selera politik untuk memperdagangkan agama demi mencapai objektif siasah.

“Natijah gagal menilai itu sangat tidak baik terhadap UMNO, malah musibahnya jauh lebih berbahaya kepada rakyat dan negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas kedudukan Muafakat Nasional ketika ini.

Pada Sabtu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memberitahu parti itu menolak gagasan Muafakat Nasional kerana mendakwa UMNO tidak mengikut piagam yang dipersetujui ketika kerjasama dua parti itu dibentuk.

Katanya, berdasarkan piagam Muafakat Nasional, dua parti itu sedia menerima parti-parti lain termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, UMNO telah berusaha mengekalkan kemuafakatan itu termasuk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun hanya bertepuk sebelah tangan.

“Pimpinan Pas sering menyatakan menyokong Muafakat Nasional, tetapi di Melaka menolak pelawaan UMNO, malah membuat keputusan untuk bergandingan dengan Bersatu yang diketahui tujuannya menjatuhkan UMNO.

“Namun, UMNO menghormati pendirian dan hak pimpinan Pas untuk bersama PN (Perikatan Nasional) itu kerana ini adalah sebuah negara demokrasi,” katanya.

Tambah Ahmad Zahid, UMNO juga tidak pernah mengarahkan Pas tentang hala tuju politiknya atas semangat kemuafakatan yang dimeterai sebelum ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!