Suu Kyi dipenjara empat tahun
YANGON - Junta Myanmar menjatuhkan hukuman penjara terhadap pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi pada Isnin kerana tuduhan menghasut terhadap tentera dan melanggar peraturan Covid-19, kata jurucakap pemerintah memberitahu AFP.
Suu Kyi, 76, telah ditahan sejak jeneral merampas kuasa pada 1 Februari lalu, sekali gus menamatkan tempoh demokrasi di negara Asia Tenggara itu.
Sejak itu, beliau menerima beberapa siri tuduhan termasuk melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA), rasuah dan penipuan pilihan raya serta bakal berdepan hukuman puluhan tahun jika didapati bersalah.
Pada Isnin, Suu Kyi dihukum penjara dua tahun kerana menghasut tentera dan dua tahun lagi kerana melanggar undang-undang bencana alam berkaitan dengan Covid-19, menurut jurucakap junta, Zaw Min Tun memberitahu AFP menerusi panggilan telefon.
Bekas presiden, Win Myint turut dipenjara empat tahun atas tuduhan sama dan kedua-dua pemimpin itu belum dihantar ke penjara. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!