576.98 hektar tanah wakaf didaftar atas nama MAIS
SHAH ALAM - Sejumlah 576.98 hektar tanah wakaf di negeri Selangor sudah didaftarkan atas nama Majlis Agama Islam Islam Selangor (MAIS) sehingga Oktober 2021.
MAIS adalah pemegang amanah tunggal harta wakaf mengikut Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 2015.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, daripada jumlah itu, 92.24 peratus tanah wakaf itu sudah dibangunkan dengan tujuan tertentu atas niat pewakaf yang dikategorikan sebagai wakaf khas.
Menurutnya, tanah berkenaan dibangunkan sebagai institusi keagamaan, pendidikan dan kebajikan sebagai contoh masjid, surau, tapak perkuburan, sekolah, pusat tahfiz, rumah anak yatim, rumah warga emas dan lain-lain.
"Sejumlah 6.69 peratus daripada hartanah wakaf tersebut juga dirancang untuk dimanfaatkan atau dibangunkan dengan cadangan projek pembangunan.
"Projek-projek tersebut dilihat mampu memberi nilai tambah dan meningkatkan ekonomi ummah seperti projek pembangunan perumahan, pembangunan komersil serta pembangunan secara bercampur," katanya ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Haniza Mohamed Talha (Bersatu-Lembah Jaya) mengenai keluasan tanah wakaf di Selangor serta apa yang dilakukan terhadap tanah berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!