Pelajar maut dilanggar guru

Seorang pelajar lelaki maut selepas basikal ditungganginya berlanggar dengan sebuah MPV dipandu seorang guru di Batu 6 Jalan Changkat Jong, pada Isnin. - Gambar hiasan
Seorang pelajar lelaki maut selepas basikal ditungganginya berlanggar dengan sebuah MPV dipandu seorang guru di Batu 6 Jalan Changkat Jong, pada Isnin. - Gambar hiasan
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang pelajar lelaki maut selepas basikal ditungganginya berlanggar dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu seorang guru di Batu 6 Jalan Changkat Jong di sini pada Isnin.

Kejadian sekitar jam 7 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 14 tahun dalam perjalanan dari kediamannya di Kampung Glouster Batu 6 ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kandi, Teluk Intan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah selepas tercampak.

Menurutnya, keterangan awal memaklumkan mangsa telah keluar dari simpang sebelah kanan secara melulu hingga masuk ke laluan MPV Perodua Alza dipandu seorang guru wanita berusia 36 tahun.

"Keadaan itu menyebabkan pemandu MPV terbabit tidak sempat mengelak dan terlanggar mangsa di bahagian hadapan.

"Pelanggaran menyebabkan mangsa tercampak dan terjatuh ke bahu jalan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, petugas kesihatan telah mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian sementara pemandu MPV tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat dan ujian saringan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!