Youtuber pertaruh populariti maya bertanding di DUN Dudong

Fadhil Mohd Isa
Fadhil Mohd Isa
A
A
A

SIBU - Seorang penggiat YouTube atau ‘YouTuber’ tempatan yang dikenali sebagai Cardock mempertaruh popularitinya di media sosial itu untuk bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong di sini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Anak kelahiran Sibu itu, yang nama sebenarnya Fadhil Mohd Isa, 37, berkata, beliau terpanggil untuk bertanding pada PRN kali ini kerana ingin membela nasib rakyat di kawasan Dudong yang masih belum menikmati kemudahan bekalan air, elektrik dan Internet.

“Saya terpanggil untuk bertanding apabila melihat bagaimana sebuah negeri seperti Sarawak yang kaya dengan hasil bumi masih ada lagi tempat-tempat yang tidak ada bekalan air, elektrik dan kemudahan Internet sedangkan semua itu boleh memberi keuntungan kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita.

Beliau merupakan antara lapan individu yang mengemukakan kertas pencalonan di pusat penamaan calon DUN Dudong di Perpustakaan Awam Sibu Jaya hari ini untuk mencuba nasib merebut kerusi itu.

Turut bertanding Wong Hie Ping (PSB), Jane Lau Sung Yee (PBK), Julius Enchana (PBDSB), Paul Ling Fong (DAP), Josephine Lau Kiew Peng (ASPIRASI), Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-PDP) dan Engga Unchat (Bebas).

Cardock berkata, beliau sebenarnya mula berkempen sejak 2018 melalui platform media sosial dan mendakwa sudah dikenali ramai dengan jumlah pengikut di media sosial melebihi sejuta orang.

“Merebaknya Covid-19 juga telah memudahkan lagi usaha saya berkempen melalui platform media sosial dan saya akan menggunakannya 100 peratus walaupun terdapat tempat-tempat yang tidak ada kemudahan internet,” katanya.

Beliau turut ditanya sebab memilih udang sebagai logo yang akan digunakan pada PRN kali ini.

Artikel Berkaitan:

Cardock berkata, ia sinonim dengan hobi beliau yang suka menjala udang di Sungai Passin dekat sini dan turut membantunya mempopularkan diri di media sosial. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!