Polis buru enam tahanan lari dari Puspen
PAPAR - Polis Sabah memburu enam tahanan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Papar di sini yang melarikan diri pada Sabtu lalu.
Kesemua warga tempatan yang berusia antara 20 hingga 40 tahun itu dilaporkan baru sahaja dimasukkan ke pusat berkenaan sekitar hujung November lalu.
Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 6 pagi.
Menurutnya, polis percaya usaha melarikan diri itu adalah terancang membabitkan 11 penghuni Puspen, namun hanya enam berjaya keluar dengan memanjat tembok pagar pusat berkenaan.
"Mereka dipercayai menaiki tembok pagar dengan memanjat badan antara satu sama yang lain sehingga berjaya keluar. Namun lima daripadanya gagal berbuat demikian disebabkan pagar terlalu tinggi.
"Ketika kejadian semua suspek berpakaian biasa dan kini mereka dipercayai masih berada di sekitar daerah Papar," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar pada Isnin.
Batholomew berkata, usaha memburu kesemua suspek sedang giat dilakukan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung tahanan ini diminta menghubungi bilik gerakan IPD Papar di talian 088-916064.
"Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohamad Alif Mohd Razali ditalian 010-2611012,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!