Kajian lanjut diperlukan sebelum benar penggunaan ketum, kanabis
KUALA LUMPUR – Kerajaan masih memerlukan kajian lanjut sebelum membenarkan penggunaan ketum dan kanabis.
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, kajian sedia ada berkenaan kedua-dua tumbuhan itu masih belum mencukupi sebelum penggunaannya dibenarkan.
”Kita bukanlah nak menyekat. Sekiranya benda itu baik, memang kita nak buat.
”Tetapi dua perkara ini memang terikat dengan Akta Racun dan sebagainya yang mana usaha-usaha untuk mengguna, menyimpan dan sebagainya itu tidak dibenarkan,” katanya semasa penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2022 Peringkat Jawatankuasa Kementerian Kesihatan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) yang bertanyakan tentang adakah telah ada kajian melibatkan ketum oleh kerajaan.
Mengulas lanjut, Dr Noor Azmi tidak menolak sekiranya ada bukti baharu menunjukkan kedua-dua tumbuhan itu mendatangkan kebaikan, berkemungkinan pindaan undang-undang boleh dibuat.
”Supaya kita dapat menggunakan dan menjana pendapatan yang lebih. Inilah pendapat kerajaan pada ketika ini,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!