Peng Soon-Liu Ying tarik diri dari Kejohanan Dunia

Goh Liu Ying dan Chan Peng Soon.
Goh Liu Ying dan Chan Peng Soon.
A
A
A

PEMINAT badminton perlu melupakan hasrat untuk melihat aksi pasangan beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pada Kejohanan Dunia BWF (Persekutuan Badminton Dunia) 2021, apabila pasangan itu mengambil keputusan menarik diri, enam hari sebelum bermulanya kejohanan itu di Huelva, Sepanyol.

Menjelaskan keputusan untuk menarik diri itu, Liu Ying, 32, menyatakan faktor usia, kecergasan dan peningkatan kes Covid-19 di seluruh dunia menjadi punca mereka membuat keputusan itu kurang seminggu daripada bermulanya acara itu.

“Selepas mengkaji kebaikan dan keburukannya, kami membuat keputusan untuk menarik diri daripada kejohanan itu. Saya tahu Kejohanan Dunia amat bermakna untuk setiap pemain.

“Saya benar-benar minta maaf kerana tidak dapat berlawan lagi, saya betul-betul tidak dapat bertahan lagi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Liu Ying turut berterima kasih kepada penaja-penaja mereka atas sokongan mereka dalam memastikan mereka masih dapat bertanding dalam kejohanan-kejohanan sebelum ini.

Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu akan mendapat ‘bye’ pada pusingan pertama, jika mereka bertanding pada Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Palacio de los Deportes Carolina Marín sehingga 19 Disember.

Keputusan pasangan nombor sembilan dunia itu menjadikan penyertaan mereka di Jelajah Dunia BWF 2021 sebagai kejohanan terakhir mereka tahun ini, di mana mereka tewas kepada pasangan Thailand Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 8-21, 18-21, dalam masa 43 minit. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!