Satu PKRC dibuka di setiap negeri: Nadma
PUTRAJAYA - Sekurang-kurangnya satu Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dengan kapasiti 500 orang akan dipastikan kekal beroperasi di setiap negeri, kata Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Dr Aminuddin Hassim.
Beliau berkata, kebanyakan premis yang dijadikan PKRC sebelum ini telah memohon untuk menamatkan perkhidmatan PKRC seperti institut latihan awam dan hotel bagi menjalankan operasi dan perniagaan seperti biasa.
Aminuddin berkata, peranan PKRC di setiap negeri itu adalah bagi menyokong sistem kesihatan awam sekiranya berdepan dengan kes naik mendadak terutamanya dalam kategori 2B iaitu bergejala ringan yang teruk bagi mengelakkan pesakit beralih ke kategori tiga, empat atau lima yang kritikal.
"Satu PKRC bersaiz besar di setiap negeri akan dibuka. Yang tiada dewan besar contoh di Kelantan, akan memerlukan empat hingga lima bangunan untuk samakan saiz PKRC yang besar macam di negeri lain," katanya kepada Bernama pada Isnin.
Aminuddin berkata, Nadma yang bertanggungjawab terhadap pengurusan di semua PKRC di seluruh negara akan memohon kepada Kementerian Kewangan untuk melanjutkan pembiayaan untuk PKRC terpilih untuk dibuka itu manakala yang lain akan dibenarkan tutup.
Beliau berkata, Nadma juga akan mengambil pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan melihat perkembangan "dalam dua hingga tiga bulan" sebelum membuat keputusan yang lebih strategik berhubung pengoperasian PKRC.
Aminuddin berkata, PKRC Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dengan kapasiti 2,000 orang, tidak akan ditutup kerana ia mampu menampung kemasukan pesakit dari negeri lain seperti Negeri Sembilan selain Lembah Klang sekiranya kes meningkat mendadak selain mempunyai fasiliti serta peralatan yang sesuai untuk merawat pesakit kategori tiga, empat dan lima.
Hari ini (6 Disember) genap setahun PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 diaktifkan semula ekoran peningkatan kes dengan mendadak ketika itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!