Waris Salleh Perang fail notis permohonan perintah faraid harta

11 pemohon yang merupakan wakil kepada ahli keluarga Datuk Bentara Luar Johor hadir menandatangani afidavit untuk permohonan tersebut di Mahkamah Syariah Johor Bahru pada Isnin.
11 pemohon yang merupakan wakil kepada ahli keluarga Datuk Bentara Luar Johor hadir menandatangani afidavit untuk permohonan tersebut di Mahkamah Syariah Johor Bahru pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Waris Datuk Bentara Luar Johor, Allahyarham Datuk Mohammed Salleh Perang pada Isnin memfailkan notis permohonan untuk mendapatkan satu perintah faraid bagi harta pusaka beliau bernilai lebih RM300 bilion di Mahkamah Syariah Johor Bahru di sini.

Seramai 11 pemohon yang merupakan wakil kepada ahli keluarga Datuk Bentara Luar Johor menandatangani afidavit untuk permohonan tersebut.

Peguam mereka, Norhanisah Johar berkata, permohonan tersebut baru dibuat kerana pihaknya masih lagi meneliti harta pusaka milik Mohammed Salleh yang berhak diserahkan kepada waris-warisnya.

"Ketika ini, waris Allahyarham sudah menjangkau tujuh generasi melibatkan seramai lebih 4,000 orang dengan daftar kematian melibatkan waris yang direkodkan ialah seramai 462 orang.

"Waris hidup yang paling tua adalah seorang wanita berusia 86 tahun manakala yang paling muda pula masih bersekolah rendah.

"Proses hari ini adalah untuk mendapatkan perintah faraid daripada pihak mahkamah iaitu untuk menentukan siapa waris dan berapa nilai harta pusaka yang berhak dimiliki mereka," katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan mahkamah.

ARTIKEL BERKAITAN: Johor teliti tuntutan waris Datuk Mohammed Salleh Perang

Katanya, selepas proses itu selesai, proses tuntutan lain akan dibuat ke Pejabat Tanah dan pejabat serta agensi kerajaan negeri lain.

Sementara itu, wakil kepada waris, Mohd Zaini Aris berkata, tuntutan yang dibuat pada Isnin adalah mengikut kepada lunas undang-undang oleh waris yang berhak dan layak untuk mendapat bahagian masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Dia mendakwa, harta pusaka Allahyarham dianggarkan bernilai lebih RM300 bilion dalam bentuk hartanah jika dinilaikan dengan harga semasa.

Pihaknya mempunyai dokumen sah seperti geran tanah untuk membuktikan Allahyarham masih mempunyai aset di beberapa daerah yang hingga kini masih belum dipindah milik kepada waris yang berhak.

Mohd Zaini berkata, usaha untuk mendapatkan harta pusaka berkenaan sebelum yang dilakukan pada tahun 2016 dengan bantuan peguam tidak dapat diteruskan kerana dihalang pihak tidak bertanggungjawab.

"Waris Mohamed Salleh tidak berminat untuk mendapatkan kembali tanah-tanah berkenaan sebaliknya mahu diberikan pampasan dalam bentuk kewangan," katanya.

Menurut wikipedia, Mohammed Salleh adalah birokrat Johor yang memegang pelbagai jawatan penting dari tahun 1856 sehingga 1912 dalam pentadbiran kerajaan Johor bermula sebagai Pesuruhjaya Polis Negeri, ahli Dewan Negeri dan berakhir sebagai ahli jemaah menteri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!