Lima bot nelayan pukat tunda musnah terbakar
KUANTAN - Lima bot nelayan pukat tunda musnah dalam kebakaran di jeti Batu 3 di sini pada awal pagi Isnin.
Dalam kejadian jam 1.27 pagi itu, sebuah bot berjaya diselamatkan dan hanya mengalami kerosakan kecil.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, seramai 32 anggota termasuk tujuh pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan, Indera Mahkota dan Taman Tas bersama empat jentera ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat.
Menurutnya, operasi awal memadam kebakaran dilakukan dengan menghanyutkan bot yang sedang terbakar agar tidak merebak ke bot nelayan yang lain.
"Anggota bomba juga menggunakan sebuah bot aluminium bagi membawa pam angkut untuk memadam kebakaran.
"Kerja-kerja pemadaman menggunakan aliran hos dan semburan buih sebelum kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran itu.
"Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!