PABM dihantui tindakan tegas IWF

Ayub Rahmat
Ayub Rahmat
A
A
A

ISU doping yang kembali menghantui arena angkat berat negara mencetuskan keresahan buat Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) sekiranya badan induk itu sekali lagi dikenakan hukuman oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).

Perkara itu dinyatakan Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat susulan terdapat tiga kes penggunaan bahan terlarang direkodkan atlet angkat berat pada tahun ini dengan terkini membabitkan seorang badang wanita yang disahkan positif sibutramine.

Jelasnya, ia perlu dibayar oleh atlet atau persatuan negeri terlibat sekiranya didenda oleh badan induk antarabangsa tersebut.

"Kita juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas seperti hukuman penggantungan terhadap negeri yang gagal memantau atlet di bawah seliaan masing-masing.

"Setiap kes positif perlu dirujuk kepada Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) dan IWF... kita juga risau jika dikenakan sebarang tindakan tetapi saya berharap tidak dikenakan apa-apa hukuman kerana isu ini turut berlaku di negara lain (dan) ada negara yang lagi banyak kes,” katanya.

IWF pada 2019 mendenda PABM sebanyak AS$25,600 (lebih kurang RM110,000) berikutan kes doping membabitkan empat atlet negara, selain turut digantung daripada menyertai sebarang aktiviti IWF selama setahun bermula 1 April 2020, manakala semua atlet angkat berat Malaysia tidak dibenarkan menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Khamis lalu, Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) Azura Abidin mengesahkan bahawa seorang badang wanita berusia 22 tahun, didapati positif doping pada Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan di Rompin, Pahang pada Oktober lalu.

Pada Mei, pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018 Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad dan Muhammad Ikram Haikal Muhammad Zuari didapati positif anabolik steroid yang menyaksikan PABM membubarkan skuad angkat berat kebangsaan, mengakibatkan kesemua empat jurulatih dan 13 atlet diberikan notis penamatan kontrak berkuat kuasa 1 November lalu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ayub berkata bagi mengekang isu doping daripada terus berlaku, PABM mengambil pelbagai langkah pencegahan termasuk memberi peringatan kepada atlet dan bekerjasama dengan ADAMAS bagi program kesedaran dan melakukan ujian doping, sekali gus berharap ia dapat memberi keyakinan kepada IWF.

Beliau berkata ujian doping akan dilakukan sebelum dan ketika kejohanan serta ujian mengejut ketika di kem latihan.

"Tetapi gejala itu masih belum dapat dikekang kerana kecuaian atlet sendiri yang menggunakan suplemen dan herba tanpa merujuk kepada Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Sukan Negara (MSN) dan ADAMAS,” katanya.

Ayub berkata pihaknya juga sedang menyiasat jika penggunaan bahan terlarang dalam sukan angkat berat didalangi oleh mana-mana pihak dan punca bagaimana atlet wanita itu positif sibutramine.

"Sibutramine adalah bahan perangsang banyak didapati dalam produk kuruskan badan yang banyak dijual di pasaran dan secara dalam talian. Ia bukan bahan larangan untuk orang ramai, tetapi tidak dibenarkan untuk atlet.

"Antara andaian ialah jika atlet tersebut mengambil pil diet atau produk kuruskan badan kerana berat badan melebihi kategorinya. Bagaimanapun, apabila bahan terlarang itu berada dalam badan ia menjadi tanggungjawab mereka sendiri,” katanya.

ADAMAS dijangka mengadakan sesi pendengaran bagi kes itu dalam masa terdekat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!