Malaysian Tigress patuhi SOP
KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) menafikan sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) sehingga menyebabkan salah seorang pemain skuad hoki projek khas wanita positif Covid-19 semasa berlangsung aksi pembukaan Trofi Juara-juara Asia (ACT) 2021 di Donghae, Korea Selatan.
Sebaliknya menurut Timbalan Presiden MHC, Profesor Datuk Dr S Shamala, semua pemain negara disahkan negatif pada ujian yang dilakukan sebelum bertolak ke Korea.
Katanya, beliau berpendapat kemungkinan pemain tersebut dijangkiti Covid-19 ketika dalam perjalanan memandangkan pesawat yang mereka naiki itu agak padat dengan jumlah penumpang.
“Mereka semua sebelum bergerak sudah lakukan ujian Covid-19 dan kesemuanya adalah negatif. Malah ujian saringan mereka juga negatif sebelum memasuki MSN (Majlis Sukan Negara). Jadi ia mustahil kalau kata ada antara mereka langgar SOP.
“Berkemungkinan mereka kena adalah ketika dalam perjalanan ke Korea, sebab pesawat yang mereka naiki itu agak padat. Tapi itulah risiko yang perlu dihadapi kalau anjur perlawanan ketika pandemik,” katanya ketika dihubungi Sukan Sinar pada Ahad.
Sebelum ini media melaporkan skuad hoki projek khas wanita terpaksa berputih mata apabila penganjur tidak membenarkan pasukan itu turun menentang China pada aksi pembukaan kejuaraan di Korea Selatan itu.
Ia susulan seorang daripada pemain negara iaitu Nurul Faezah Shafiqah Khalim disahkan positif Covid-19 melalui ujian calitan ketika ketibaan pasukan pada 29 November lalu, yang menyebabkan seluruh pasukan negara dikuarantin sejak 1 Disember.
Dalam pada itu Shamala berkata, pihaknya masih menunggu keputusan sama ada pasukan tersebut dibenarkan untuk beraksi dalam baki tiga perlawanan selepas disahkan terlepas aksi pertama dan kedua kejohanan.
“Persekutuan Hoki Asia (AHF) dan Persatuan Hoki Korea Selatan melakukan yang terbaik untuk membolehkan pasukan wanita Malaysia kembali menyertai kejohanan itu.
“Ia adalah keutamaan kami untuk membenarkan atlet dan petugas pasukan yang telah berlatih, bersiap sedia dan mengembara untuk menyertai acara besar ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!