Penganggur dijel 4 bulan, ceroboh kawasan

Tertuduh dipenjara empat bulan selepas mengaku salah melakukan pencerobohan jenayah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.
Tertuduh dipenjara empat bulan selepas mengaku salah melakukan pencerobohan jenayah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang penganggur dijatuhi hukuman empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana melakukan pencerobohan jenayah, pada 1 Mac lalu.

Tertuduh, Musyady Mamat@Sulong, 37, dari Jalan Pantai Kubang Badak, Kuala Nerus mengaku salah atas pertuduhan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, Musyady didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki ke dalam kawasan rumah yang dimiliki secara sah oleh Siti Nor Wahida Shikh Muhamad, tanpa kebenarannya.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau dengan denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan di kawasan rumah di Taman D'wando, Alor Jambu, Padang Nenas, Kuala Nerus, antara jam 6.50 petang hingga 7.26 petang, pada 1 Mac lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zafirah Rosli di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Berdasarkan fakta kes, pada 1 Mac, jam 12.30 tengah hari, pengadu sekeluarga keluar dari rumah kerana pergi ke rumah ibunya di Manir, di sini.

Kira-kira jam 11.30 malam, pengadu balik ke rumah, beliau belum perasan ada suatu kejadian telah berlaku sehinggalah tiga hari kemudian iatu pada 3 Mac, dia dapati kasut but milik suaminya yang disimpan di hadapan rumah berada di kawasan sink belakang rumah.

Curiga dengan situasi itu, pengadu terus membuat pemeriksaan sebelum mendapati tingkap dapur ada kesan umpil.

Artikel Berkaitan:

Pengadu melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) rumah jirannya dan mendapati ada seorang lelaki berbadan kurus kulit gelap, memakai baju hitam dan berseluar pendek serta memakai sarung tangan, memanjat pagar belakang daripada rumah jiran ke rumah pengadu dan mengumpil tingkap tetapi tidak berjaya masuk ke dalam rumah.

Susulan laporan dibuat, lebih kurang jam 3.50 petang, pada 8 Mac lalu, tertuduh ditangkap di tepi jalan Sultan Ismail, di sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!