Doktor di UK temui cara atasi masalah kegemukan
LONDON - Masalah obesiti atau kegemukan mungkin boleh diubati tanpa memerlukan seseorang itu melakukan senaman dan melakukan diet pemakanan.
Seorang doktor di Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan United Kingdom (NHS) percaya mereka telah menemui satu cara untuk melemahkan hormon ghrelin yang mempunyai nama gelarannya iaitu hormon lapar dalam tubuh manusia.
Hormon itu dapat dilemahkan dengan menghentikan bekalan darah ke bahagian perut.
Satu uji kaji sedang dilakukan diketuai oleh seorang doktor pakar dalam masalah kegemukan, Dr Ahmed R. Ahmed di Hospital St Mary, Paddington tengah London yang berkata, kos bagi tujuan itu hanya melibatkan belanja sebanyak £1,500 (RM8,425).
Ia adalah jauh lebih murah berbanding dengan pembedahan untuk membuang lemak pada badan.
Bagaimanapun, seseorang yang gemuk itu perlu menjalani pembedahan kecil pada pergelangan tangan dan memasukkan wayar berongga ke dalam salur darah menyebabkan ia mampu menghentikan keinginan untuk memakan secara berlebihan.
Menurut Dr Ahmed, jika pembedahan itu sudah diamalkan, pesakit sudah boleh keluar dari hospital dalam tempoh dua jam sahaja. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!