Percaya pada rezeki, peniaga jual roti canai 50 sen

Gerai roti canai Rohaizan yang beroperasi di Chendering, Kuala Terengganu.
Gerai roti canai Rohaizan yang beroperasi di Chendering, Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dalam keresahan masyarakat memikirkan peningkatan harga barang yang mendadak, seorang peniaga di Chendering, di sini nekad menjual roti canai serendah 50 sen.

Mempercayai kekuatan yang ada pada rezeki, Rohaizan Hassan, 51, mengambil keputusan menjual roti canai murah biarpun menerima kritikan daripada peniaga lain atas tindakannya yang dianggap 'membuang harga' bagi melariskan jualan.

"Ada sebab saya jual roti canai murah. Pertama, saya niatkan atas nama anak saya, Allahyarham Mohd Syafiq Najmuddin yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di kawasan ini ketika menghantar 'pizza' yang dipesan pelanggan pada 2019.

Rohaizan
Rohaizan

"Kedua, saya mengenangkan nasib orang-orang yang kurang bernasib baik, ada anak ramai tetapi tidak mampu nak berbelanja lebih untuk beri anak-anak makan lebih-lebih lagi dalam tempoh yang sukar ketika ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Isnin.

Menurut Rohaizan, dia terfikir untuk menjual roti canai murah selepas menonton sebuah rancangan televisyen yang memaparkan sebuah gerai di Kedah menjual roti canai pada harga yang sama.

"Selepas menonton rancangan itu saya mula terfikir mengapa saya tidak boleh jual pada harga murah juga sedangkan peniaga berkenaan boleh buat.

"Saya akui, ada yang komplen cakap jual roti murah tak dapat untung dan kalau nak berniaga tak boleh jual harga ini. Saya kata, itu rezeki masing-masing. Kalau kita niaga di kedai tetapi nak jual murah pun boleh. Semua tu kita yang 'adjust' (selaraskan)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Rohaizan berkata, kenaikan harga barang tidak menjejaskan perniagaanya malah dia berazam untuk terus mengekalkan harga 50 sen pada roti canai yang dijual.

"Apa yang saya buat ialah seimbangkan barangan yang dijual dengan harga semasa bahan mentah di pasaran. Walaupun harga barang mahal saya tetap boleh jual murah kerana saya berniaga di tepi jalan, tidak perlu keluarkan modal untuk menyewa premis sebab itu tiada sebab untuk saya jual mahal.

Rohaizan sedang melayan pelanggan yang mengunjungi gerainya di Chendering, Kuala Terengganu.
Rohaizan sedang melayan pelanggan yang mengunjungi gerainya di Chendering, Kuala Terengganu.

"Sebenarnya ketetapan harga atas kita (peniaga) dan bergantung pada cara kita menguruskan perniagaan dan barangan yang dijual," katanya yang berpengalaman menjual roti canai sejak tahun 2000 di Padang Negara, Kuala Ibai.

Gerai roti canai Rohaizan yang beroperasi jam 8.30 hingga 11 pagi pada setiap hari itu turut menyediakan beberapa menu lain bermula pada harga 50 sen hingga RM2.50.

Antara menu yang dijual di gerainya ialah roti telur, roti 'bomb' kaya, roti 'bomb' planta, roti planta, roti bawang, roti telur bawang, roti sardin, roti kahwin, roti 'double' telur, roti pisang dan roti milo.

Terdapat juga menu istimewa iaitu lempeng nyior (kelapa) yang dijual setiap hujung minggu (Jumaat dan Sabtu) dengan harga RM1.50 sen.

Rohaizan berkata, secara purata dia menggunakan sekitar 4 kilogram (kg) tepung gandum bagi menu roti canai pada hari biasa dan 7 kg tepung bagi jualan roti canai dan lempeng pada hari minggu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!