Projek dalam taman sasar 100 kilogram cili seminggu
SUNGAI PETANI - Projek Komuniti Fertigasi Cili Taman Peruda yang menyasarkan pengeluaran 100 kilogram cili seminggu mampu mengurangkan beban pengguna akibat kenaikan harga sayur.
Setiausaha projek, Roslan Azizan berkata, penanaman berkonsep taman bermula Mac tahun lalu di sekitar Surau Mujahidin itu turut menjana pendapatan 28 peserta terbabit termasuk warga emas dan kariahnya.
Beliau memberitahu, inisiatif yang pada mulanya hanya sekadar mengisi masa terluang kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 itu berjaya menjana pendapatan baharu penduduk di kawasan perumahan berkenaan.
"Dalam keadaan negara masih dilanda Covid-19, rakyat berdepan masalah kos sara hidup dan harga barang mentah semakin meningkat.
"Melalui projek komuniti ini penduduk boleh mendapatkan hasil yang kami tuai dengan harga jauh lebih murah, segar dan berkualiti," katanya.
Jelasnya, sebanyak 1,000 pokok cili diusahakan selain beberapa jenis sayur di tanah kosong di tepi surau dengan kebenaran jawatankuasanya bertujuan memanfaatkan ruang.
Menurutnya, hasil diperoleh dijual kepada penduduk, peniaga gerai, pemborong kecil dan pasar mini dengan harga berpatutan.
"Pada musim pertama, kita berjaya menuai sebanyak 260 kilogram cili, musim kedua hanya 160 kilogram kerana diserang penyakit dan musim ketiga setakat ini berjaya pasarkan sebanyak 500 kilogram cili," katanya.
Menurut Roslan, melihat kepada pengeluaran yang semakin meningkat, mereka berhasrat memperbesarkan tanaman dengan pelbagai sayur lain termasuk timun, bendi dan terung pada masa hadapan.
"Setakat ini, kami berjaya hasilkan cili merah, cili hijau dan cili api namun permintaan masih tinggi dan menggalakkan daripada penduduk yang berminat menanam di sekitar rumah bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran," katanya.
Beliau berkata, selain menjana pendapatan, aktiviti penanaman juga membantu meningkatkan kesihatan khususnya warga emas selain mengeratkan hubungan silaturahim antara komuniti.
"Bagi meningkatkan kualiti dan pengeluaran, kami mengalu-alukan khidmat nasihat, kerjasama dan bantuan daripada mana-mana agensi dan jabatan dalam usaha membantu merancakkan sektor pertanian negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!