Perhilitan buat penilaian penemuan buaya sesat di tasik
SHAH ALAM - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan membuat penilaian berikutan penemuan seekor buaya tersesat di Taman Dengkil Jaya, Dengkil pada Isnin.
Pengarahnya, Dennis Ten Choon Yung berkata, penilaian dan tinjauan itu akan dilakukan pada Selasa.
Menurutnya, pihaknya juga sudah ke lokasi sama pada Isnin dan telah mengambil beberapa langkah keselamatan kepada orang awam.
"Semalam (Isnin) kakitangan telah ke lokasi dan kita telah memasang pita tali amaran untuk memberi makluman awal kepada orang awam tentang kehadiran buaya.
"Pasukan Perhilitan akan menilai kawasan pada hari ini (Selasa)," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan, penduduk di Taman Dengkil Jaya gempar dengan kehadiran seekor buaya sepanjang kira-kira dua meter dalam sebuah tasik berhampiran kawasan tersebut pada Isnin.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.29 malam.
Menurutnya, pemeriksaan telah dilakukan dan mendapati seekor buaya berada dalam tasik berkenaan dipercayai tersesat dari sungai berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!