Israel serang pelabuhan Syria
DAMSYIK - Serangan Tentera Udara Israel mengenai pelabuhan Latakia di Syria pada awal pagi Selasa, menurut agensi berita, SANA.
Agensi berita Syria itu memetik satu sumber ketenteraan yang mendakwa bahawa pada kira-kira jam 1.23 pagi waktu tempatan, tentera tersebut melakukan serangan udara dengan menggunakan beberapa buah peluru berpandu.
Namun, katanya, pasukan pertahanan Syria berjaya menangkis serangan tersebut.
Serangan itu menyasarkan kawasan penyimpanan kontena yang menyebabkan sebahagiannya terbakar tetapi tiada kecederaan atau kematian.
Bagaimanapun, anggota-anggota jabatan bomba berjaya memadamkan kebakaran tersebut.
Pada Mei lalu, satu serangan udara Israel ke atas wilayah Latakia telah menyebabkan seorang terbunuh dan enam orang lagi cedera.
Israel telah menyatakan berulang kali bahawa ia tidak akan membenarkan Syria menjadi tempat bagi musuhnya, Iran untuk bertapak di negara berkenaan.
Sejak perang saudara meletus di Syria pada tahun 2011, rejim Zionis telah melancarkan ratusan serangan udara ke atas negara tersebut dengan menyasarkan kedudukan kerajaan termasuk kumpulan-kumpulan pejuang bersenjata pro-Iran dan Hizbollah.
Pada 24 November lalu, serangan peluru berpandu Israel di bandar Homs telah menyebabkan lima orang terbunuh, kata sebuah kumpulan hak asasi manusia Syria. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!