Pemulihan PMKS fokus pada inovasi, terap prinsip kelestarian

Ismail Sabri (tengah) pada majlis perasmian Pameran Tahunan Perusahaan Kecil dan Sederhana 2021 (SMIDEX’21) pada Selasa. - Foto Bernama
Ismail Sabri (tengah) pada majlis perasmian Pameran Tahunan Perusahaan Kecil dan Sederhana 2021 (SMIDEX’21) pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pemulihan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan memberi dua fokus utama iaitu memanfaatkan inovasi serta pembangunan jangka panjang yang harus menerapkan prinsip-prinsip kelestarian meliputi persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam perniagaan.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, PMKS harus menggunakan inovasi, digitalisasi serta penggunaan teknologi untuk mendorong agenda pemulihan.

“Pelbagai aktiviti menerusi e-dagang termasuklah pembayaran secara digital, pembelajaran jarak jauh, persidangan video serta perkhidmatan logistik merupakan perkara lazim dalam ekonomi hari ini, disebabkan oleh keperluan dan peluang yang semakin meningkat,” katanya pada majlis perasmian Pameran Tahunan Perusahaan Kecil dan Sederhana 2021 (SMIDEX’21) pada Selasa.

Beliau berkata, ini juga adalah antara usaha yang boleh membiasakan PMKS dalam era persaingan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Selain itu, Perdana Menteri juga berkata, kehadiran PMKS dalam talian telah meningkat dua kali ganda daripada 35.3 peratus yang dicatatkan pada tahun 2019 (pra-Covid) kepada 75.8 peratus pada tahun 2021 (pasca Covid).

Mengenai penerapan ESG, Ismail Sabri berkata, tumpuan harus diberikan kepada pengurangan kos dan peningkatan produktiviti menerusi kecekapan tenaga, prinsip ekonomi kitaran, amalan penggajian tenaga kerja yang baik serta struktur tadbir urus syarikat yang kukuh bagi memenuhi matlamat kelestarian.

Sementara itu, beliau turut berkata, bahawa SME Corporation Malaysia (SME Corp. Malaysia) serta United Nations Global Compact Network Malaysia dan Brunei sedang bekerjasama dalam usaha membangunkan PMKS yang mampan melalui satu platform digital yang dinamakan sebagai Action Centre for Sustainable Development of SMEs (ACCESS).

“Platform ini akan menyediakan PMKS khidmat nasihat, pembangunan kapasiti serta jalinan rangkaian bersama syarikat besar yang terlibat di dalam amalan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta ESG,” katanya.

Perdana Menteri juga menekankan bahawa kerajaan akan terus mempergiatkan usaha bagi menambah baik akses dan peluang pasaran bagi membantu PMKS meningkatkan jualan di pasaran antarabangsa dengan inisiatif tersebut dilaksanakan melalui kerjasama kerajaan ke kerajaan (G2G) serta usaha sama dalam kalangan negara ASEAN, Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) serta pertubuhan antarabangsa yang lain.
Artikel Berkaitan:


“Usaha juga akan dilaksanakan untuk memanfaatkan faedah perjanjian perdagangan bebas (FTA) dalam memperluas akses pasaran dan mempercepat pengantarabangsaan PMKS, termasuklah pelaksanaan Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025 serta memeterai perjanjian FTA baharu,” katanya.

Beliau menambah pelbagai inisiatif akan diteruskan menerusi platform antarabangsa bagi terus menambah baik persekitaran perniagaan serta mengurangkan halangan perdagangan seterusnya memartabatkan industri PMKS di persada antarabangsa.

Menurut Ismail Sabri, sumbangan PMKS kepada keluaran dalan negara kasar (KDNK) berjumlah RM298 bilion pada 2010, namun jumlah ini telah meningkat 72 peratus kepada RM512 billion pada tahun lalu.

”Kini, PMKS juga memberi peluang pekerjaan kepada 7.3 juta pekerja dan menyumbang RM118 bilion kepada eksport negara,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akur sektor PMKS merupakan salah satu kumpulan yang paling terkesan dan mengalami 95.3 peratus penurunan jualan secara mendadak dalam tempoh awal pembendungan COVID-19.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar dalam ucapannya berkata, SMIDEX’21 menyediakan peluang pemasaran dan penerokaan pasaran baharu yang menekankan e-dagang dan pendigitalan.

Pameran yang bermula pada 1 hingga 23 Disember ini dijangka menarik 10,000 pengunjung maya dan RM50 juta potensi jualan menerusi pelbagai program dan aktiviti dilaksanakan.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!