Calon GPS DUN Nangka harap kelonggaran bagi ceramah bersemuka

Dr Annuar - Foto Bernama
Dr Annuar - Foto Bernama
A
A
A

SIBU - Calon Parti Gabungan Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka, Dr Annuar Rapaee akan memohon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk diberikan kelonggaran bagi mengadakan ceramah atau syarahan secara fizikal dalam kempennya di kawasan berkenaan.

Dr Annuar yang bertanding mempertahankan kerusi itu buat kali ketiga berkata beliau akan menulis surat kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi DUN Nangka dalam masa terdekat untuk tujuan itu.

“Kawasan saya bukanlah kawasan urban (bandar) sepenuhnya, tapi separa urban. Ada 34 rumah panjang dan kira-kira separuh daripadanya tidak mempunyai capaian internet yang tinggi,” katanya selepas ditemu bual secara dalam talian pada Selasa.

Ceramah atau syarahan secara fizikal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 hanya dibenarkan oleh SPR di 64 daripada 82 DUN yang ada, kerana kawasan-kawasan terlibat tidak mempunyai capaian Internet yang tinggi bagi membolehkan calon mengaplikasikan penggunaan teknologi sepanjang tempoh berkempen.

DUN Nangka tidak termasuk dalam senarai 64 kawasan berkenaan.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata pihak SPR patut melihat perkara itu dan berharap dapat diberikan kelonggaran semasa tempoh berkempen ini.

“Saya telah melawat ke semua rumah panjang berkenaan sebelum hari penamaan calon semalam kerana sudah menjangkakan larangan berkempen terbuka ini dilaksanakan bagi mengekang penularan Covid-19.

“Namun saya melihat, saya perlu pergi semula ke beberapa rumah panjang bagi bertemu dengan pengundi di sana,” katanya.

Artikel Berkaitan:

DUN Nangka menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Dr Annuar dengan dua calon wanita iaitu Intanurazean Wan Sapuan Daud dari Parti Sarawak Bersatu dan Olivia Lim Wen Sia dari Parti Bumi Kenyalang. - Bernama

Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!