Panik punca tinggalkan bayi dalam mangkuk tandas
GOMBAK - Polis sudah mengambil keterangan ibu kepada bayi lelaki yang ditemui dibuang di dalam mangkuk tandas sebuah hospital, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, hasil soal siasat awal, suspek wanita berusia 20 tahun itu mendakwa dia panik sehingga terpaksa meninggalkan anak yang baru dilahirkan di situ.
Menurutnya, pada mulanya suspek memberitahu dia ke hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan kerana sakit perut, namun ketika menunggu giliran perutnya berasa senak seperti ingin membuang air besar.
"Suspek terus ke tandas dan ketika meneran dia terasa seperti ada sesuatu keluar dan mendapati ia adalah bayi. Bayi itu keluar bersama tali pusat dan terus masuk ke dalam mangkuk tandas berkenaan.
"Suspek yang takut dan panik terus keluar dari tandas dan meninggalkan bayinya di situ," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Samsor berkata, selepas suspek beredar, terdapat seorang saksi yang menemui bayi terbabit dan memaklumkan kepada pengawal keselamatan hospital.
"Siasatan lanjut ke atas suspek, dia mengaku pernah melakukan hubungan intim dengan teman lelakinya sebelum ini dan pada awalnya tidak menyedari dirinya hamil.
"Bagaimanapun, pada Disember lalu, dia mengesyaki dirinya mengandung selepas tidak datang haid sejak beberapa bulan sebelum itu. Suspek turut merahsiakan perkara itu kerana tidak mahu diketahui sesiapa," katanya.
Samsor berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum kes itu dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
Terdahulu, bayi malang itu ditemui di dalam mangkuk tandas wanita di hospital berkenaan sebelum diselamatkan oleh orang awam yang menemuinya.
Bayi itu dilaporkan stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
ARTIKEL BERKAITAN:
Sumbat bayi hidup-hidup dalam mangkuk tandas
Polis tangkap ibu bayi dibuang dalam tandas hospital
Belum masa dipanggil rakam keterangan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!