Kartel Jabatan Imigresen: SPRM belum dapat maklumat
SEREMBAN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum menerima maklumat lanjut berkenaan dakwaan wujud kegiatan kartel dalam kalangan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, dakwaan itu kemungkinan timbul hasil siasatan di peringkat dalaman yang dilakukan jabatan terbabit.
"Kenyataan yang disebutkan oleh pihak menteri itu, saya belum ada maklumat lengkap lagi. Kenyataan ini mungkin timbul hasil siasatan dalaman atau perkara dalaman Jabatan Imigresen.
"Sehingga kini saya belum dapat lagi maklumat kartel sebenar yang dimaksudkan oleh pihak menteri itu," katanya pada sidang akhbar selepas hadir majlis Kolokium Antirasuah Adat Perpatih Melingkari Hidup Berintegiriti di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan di sini pada Selasa.
Azam berkata, sekiranya ada maklumat berkenaan kes terbabit, SPRM akan meneliti sama ada ia di bawah bidang kuasa agensi itu atau sebaliknya.
"Saya belum pasti lagi maklumat yang mengatakan sama ada broker atau orang tengah. Yang disebutkan itu adakah berkaitan dengan rasuah atau tidak, dan adakah ia menjangkau masuk ke pegawai kerajaan dalam Jabatan Imigresen," jelas beliau.
Sebelum ini media melaporkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan ada menerima laporan berhubung kewujudan kegiatan kartel dalam Jabatan Imigresen membabitkan pegawai pelbagai peringkat.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilaporkan berkata, pembabitan kartel itu bukan saja berkaitan urusan kenaikan pangkat dalam jabatan berkenaan, malah kartel itu juga dikatakan menggunakan pegawai imigresen untuk kepentingan mereka.
Malah, katanya, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Jonathan Yasin ada memaklumkan di Sabah terdapat iklan yang menawarkan perkhidmatan pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
Hamzah berkata, ia tidak sepatutnya berlaku kerana Jabatan Imigresen tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk sebarang urusan imigresen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!