Peng Soon kembali ke pangkuan BAM

Peng Soon dan Liu Ying
Peng Soon dan Liu Ying
A
A
A

SEHARI selepas membuat keputusan ‘berpisah’ dengan Goh Liu Ying, pemain beregu campuran negara Chan Peng Soon mengesahkan beliau kembali menyertai skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, setelah berbincang dengan teliti, pihaknya sepakat untuk menyerap pemain berusia 33 tahun itu dengan objektif memperkukuh beregu campuran serta melaksanakan peranan pembimbing kepada skuad remaja negara.

Mohamad Norza berkata, Peng Soon yang meninggalkan BAM pada 2018, akan melapor diri pada 1 Januari tahun depan.

“Kami gembira dapat mengambil pemain yang ada banyak pengalaman dan kelayakan ke dalam pasukan. Dalam permohonannya, beliau menyatakan hasrat untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 dan menyatakan tekadnya memainkan peranan sebagai mentor kepada pemain remaja,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Justeru, Mohamad Norza berharap Peng Soon dapat berkongsi pengalaman berharga dimilikinya dengan barisan pemain muda dan yakin kualiti yang dimiliki pemain itu mampu melengkapkan keperluan pemain muda di akademi berkenaan.

Pada Disember 2018, gandingan Peng Soon-Liu Ying yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 telah menyerahkan surat peletakan jawatan mereka sebagai pemain kebangsaan.

Sementara itu, Peng Soon berkata, beliau berasa janggal apabila tidak lagi bergandingan dengan Liu Ying, setelah 13 tahun mengharungi naik turun dalam sukan badminton.

“Ia satu perkara yang menyedihkan untuk berpisah dengan Liu Ying dan saya sedang membiasakan diri kerana sudah 13 tahun bergandingan dengannya dalam gelanggang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Keputusan untuk berpisah itu datang selepas prestasi merosot di Tokyo 2020 menyaksikan pasangan negara itu tersingkir awal, serta faktor kepenatan menjadi isu utama perpisahan gandingan itu.

Ditanya mengenai pengalaman manis sepanjang bergandinan dengan Liu Ying, pemain berasal dari Pulau Pinang itu berkata memenangi pingat perak Sukan Olimpik di Rio adalah kenangan paling indah yang tidak akan dilupakan.

Pada Isnin, Peng Soon dalam hantaran di akaun Instagram memaklumkan ia adalah satu keputusan yang sangat berat untuk dilakukan.

“Kami gagal, kami berjaya dan kami maju bersama. Terima kasih semua yang sentiasa menyokong saya dan Liu Ying serta sentiasa bersama sepanjang 13 tahun penglibatan kami dalam sukan badminton,” katanya.

Sebelum itu, Liu Ying dalam hantaran di laman Facebook berkata, mereka telah menarik diri daripada menyertai Kejohanan Dunia 2021, enam hari sebelum kejohanan yang akan berlangsung 12 hingga 19 Disember di Huelva, Sepanyol.

Menurut Liu Ying, 32, faktor umur, tahap kecergasan dan peningkatan kes Covid-19 di seluruh dunia menjadi faktor utama mereka memutuskan untuk menarik diri.

Dengan penarikan diri itu, Jelajah Dunia Akhir BWF 2021 adalah aksi terakhir buat pasangan beregu campuran profesional negara yang menyaksikan mereka tewas di separuh akhir kepada pemain Thailand Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 21-8, 21-18.

Selain pingat perak Sukan Olimpik Rio, Peng Soon-Liu Ying yang mula bergandingan pada 2009 meraih 12 gelaran juara di pentas antarabangsa termasuk pingat emas acara berpasukan campuran di Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, pingat gangsa pada edisi 2018 di Gold Coast dan pernah menghuni ranking ketiga dunia pada 2013. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!