Pengunjung ke muzium merosot lebih 70 peratus

Nancy - Foto Bernama
Nancy - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pendapatan sektor muzium menurun dengan jumlah pengunjung merosot sehingga melebihi 70 peratus pada tahun 2020 dan 2021 susulan pandemik Covid-19, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri pada Selasa.

Beliau berkata, sehubungan itu Pameran Keajaiban Taksidermi: Kehidupan Abadi & Pelancaran Kempen Derma Artifak oleh Jabatan Muzium Malaysia (JMM) diadakan bagi menggalakkan orang ramai kembali melawat muzium selaras dengan slogan kementerian itu “Coming Back Stronger”.

"Ia bagi memastikan sektor pelancongan dan kebudayaan dapat pulih dan bangkit semula selepas pandemik Covid-19. Muzium merupakan antara produk pelancongan budaya yang berpotensi untuk menjana ekonomi negara.

"Pada tahun 2019, JMM menerusi 22 buah muzium dan pamerannya berjaya mengutip hasil pendapatan sebanyak RM3.708 juta, meningkat sebanyak 42.5 peratus dari tahun sebelumnya.

"Kenaikan ini selari dengan jumlah pengunjung muzium pada tahun itu yang mencecah 2.782 juta orang," katanya ketika melancarkan program itu di sini pada Selasa.

Taksidermi merupakan suatu bidang kepakaran muzium khusus dalam mengawet pelbagai jenis haiwan untuk dipamerkan bagi tujuan pendidikan dan penyelidikan.

Nancy berkata, sebanyak 126 koleksi fauna terpilih dipamerkan melibatkan spesimen mamalia, reptilia, avian, amfibia, ikan, skeleton dan tengkorak gajah asia serta tarikan utama, seekor badak sumatra berusia 120 tahun yang telah diisytiharkan pupus di Malaysia.

Sementara itu katanya, sebagai menteri yang bertanggungjawab, beliau akan terus menyokong usaha JMM untuk membangunkan muzium sejarah alam sejak diluluskan kabinet pada 1989 supaya tidak ketinggalan dengan negara serantau seperti Singapura, Thailand, Filipina dan Vietnam.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis sama, Nancy turut melancarkan Kempen Derma Koleksi (KDK) anjuran JMM yang menyasarkan masyarakat untuk menyumbang artifak persendirian yang mempunyai nilai sejarah, seni, budaya dan alam semula jadi kepada pihak muzium.

“Usaha menyimpan dan melindungi artifak yang bernilai tinggi kepada negara daripada risiko kehilangan, kerosakan dan kemusnahan adalah selari dengan tiga teras Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) iaitu pemuliharaan warisan, pembangunan dan pengembangan serta pemerkasaan budaya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JMM, Datuk Kamarul Baharin A Kassim berkata, dalam tempoh lima tahun lepas, JMM telah menerima sebanyak 1,120 koleksi sumbangan orang awam dan KDK dijadualkan untuk program jelajah ke Kelantan, Kedah dan Perak pada tahun hadapan.

Beliau memberitahu, penderma koleksi layak mendapat inisiatif pengecualian cukai berdasarkan kepada pengesahan nilai koleksi oleh Ketua Pengarah JMM seperti yang diperuntukkan menerusi Akta Cukai Pendapatan 1967. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!