Bekalan ayam di Perak mencukupi

Abdul Yunus meninjau harga dan bekalan sayuran sempena walkabout pemantauan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) di Pasaraya Econsave Bandar Seri Botani di sini pada Selasa.
Abdul Yunus meninjau harga dan bekalan sayuran sempena walkabout pemantauan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) di Pasaraya Econsave Bandar Seri Botani di sini pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Bekalan ayam di Perak ketika ini mencukupi bagi memenuhi permintaan pengguna terutama musim perayaan Krismas ini.

Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Perak, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, pemantauan mendapati pengeluaran bekalan ayam di pasaran tidak terganggu.

"Kita masih lagi bergantung kepada bekalan ayam tempatan, import belum ada dan untuk perayaan Krismas ini.

"Begitupun pemantauan tetap diteruskan dan kita akan ambil tindakan segera sekiranya ada aduan berkaitan bekalan ini termasuk jika dijual lebih daripada harga maksimum ditetapkan," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan 'walkabout' pemantauan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) di Pasaraya Econsave Bandar Seri Botani di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak, Saifullizan Kamarul Zaman.

Mengulas langkah kerajaan membenarkan import ayam sejuk beku, Abdul Yunus memberi jaminan, perkara itu tidak akan mengganggu penternak tempatan terutama di Perak yang menjadi antara negeri pengeluar ayam daging terbesar di Malaysia.

Katanya, inisiatif kerajaan itu untuk mengimbangi harga ayam di pasaran berikutan aduan kenaikan harga yang membebankan pengguna.

"Bekalan ayam import ini untuk memenuhi keperluan di seluruh negara dan kita belum ada maklumat terperinci lagi sama ada bekalan itu akan dibawa sekali ke Perak atau tidak.

Artikel Berkaitan:

"Saya yakin langkah ini hanya langkah jangka pendek sahaja dan apabila harga dapat distabilkan, kemungkinan import luar (ayam) tidak lagi dibenarkan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Yunus berkata, bagi negeri Perak, terdapat 12 barangan terlibat dalam SHMKM antaranya ayam, telur ayam, cili merah, tomato, dan kobis bulat import.

Menurutnya, seramai 176 pegawai penguatkuasa dan 79 pegawai pemantau harga KPDNHEP Perak akan berada di lokasi tumpuan termasuk di pasar awam dan pusat beli belah untuk menjalankan pemeriksaan.

"Harga yang digazetkan adalah harga maksimum yang boleh dijual bermaksud peniaga boleh menjual pada harga lebih rendah.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011," katanya.

Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia dilancarkan secara serentak di seluruh negara berkuatkuasa 7 hingga 31 Disember melibatkan kawalan harga ke atas barangan seperti ayam, telur ayam dan beberapa jenis sayuran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!