Kerjasama strategik Sabah, Petronas beri kesan ekonomi menyeluruh

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerjasama strategik antara kerajaan negeri Sabah dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dalam isu berkaitan industri minyak dan gas di negeri itu akan memberi kesan limpahan ekonomi yang lebih menyeluruh di Sabah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, perjanjian kolaborasi komersial (CCA) yang dimeterai akan membolehkan kerajaan negeri Sabah memainkan peranan yang lebih besar dalam mengembangkan industri minyak dan gas melalui usaha sama erat bersama Petronas.

Katanya, CCA yang ditandatangani bersama oleh kerajaan negeri Sabah dan Petronas di Kota Kinabalu pada Selasa, turut menjadi mercu tanda dalam usaha sama pembangunan industri minyak dan gas di Sabah.

“Di samping itu, ia akan membuka lagi peluang perniagaan yang lebih meluas kepada syarikat tempatan untuk berkecimpung dalam industri khidmat minyak dan gas di Sabah,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ismail Sabri berkata, pada masa sama, Petronas akan terus memainkan peranan sebagai syarikat petroleum milik negara dengan kuasa penuh dalam mengawal selia pembangunan industri minyak dan gas secara menyeluruh, selaras dengan undang-undang negara.

“Permuafakatan yang berjaya dicapai melambangkan komitmen kerajaan Persekutuan untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Sabah bagi memastikan pembangunan yang inklusif agar manfaat pembangunan negara dapat dinikmati bersama secara lebih adil dan saksama,” katanya.

Dalam kenyataan bersama secara berasingan oleh kerajaan Sabah dan Petronas katanya, Sabah melalui entiti milik kerajaan yang dicadangkan akan mempunyai peluang untuk meningkatkan penyertaannya dalam pengaturan petroleum huluan termasuk kerjasama dengan Petronas Carigali Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Petronas serta dalam perniagaan minyak dan gas pertengahan dan hiliran di negeri itu.

“Pemeteraian perjanjian ini menandakan lembaran baharu kerjasama yang lebih erat antara kerajaan negeri Sabah dan Petronas.

Artikel Berkaitan:

“Dalam mencapai matlamat ini, rangka kerja perundingan akan diwujudkan dan kedua-dua pihak akan sama-sama terlibat dalam perkara yang penting kepada industri untuk mengekalkan persekitaran perniagaan dan pelaburan yang mampan dan kondusif untuk manfaat negeri dan negara,” katanya.-- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!