Velodrom KL kembali 'bernyawa'
SELEPAS empat tahun tidak digunakan, Velodrom Kuala Lumpur, Cheras akhirnya dibuka semula bagi kegunaan latihan pasukan berbasikal Kuala Lumpur menjelang penganjuran temasya sukan Malaysia (Sukma) 2022.
Presiden Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (PBKL) Ahmad Arif Astaman berkata kebenaran untuk membuka semula venue berusia 34 tahun itu, susulan perbincangan pihaknya bersama pemaju Dupion Development SDN BHD, yang juga pemilik tanah kawasan tersebut.
"Pasukan dibenarkan berlatih di velodrom ini sehingga Sukma atas budi bicara yang diberikan pemilik tanah, mereka berbesar hati membenarkan atlet menggunakan venue ini, walaupun perlu menanggung kos untuk menunda pembinaan di kawasan itu.
"Dengan adanya venue ini, jurulatih berpeluang mengawal jadual latihan untuk pelumba muda kerana mereka tidak perlu berkongsi pusat latihan dengan pelumba lain,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan skuad berbasikal Kuala Lumpur di velodrom itu pada Selasa.
Mengulas mengenai tahap keselamatan velodrom, Ahmad Arif optimis venue ikonik itu mempunyai permukaan yang selamat untuk dijadikan tempat latihan, hasil daripada penelitian bekas pelumba negara dan jurulatih berpengalaman Datuk Ng Joo Ngan.
"Walaupun tidak diselenggara selama hampir empat tahun, trek ini cukup selamat digunakan namun pada waktu hujan tiada latihan akan dijalankan, atlet akan tunggu sehingga trek ini kering dan kami akan membina laluan yang selamat untuk atlet masuk ke kawasan ini,” katanya.
Beliau pada masa sama memaklumkan pihaknya dalam usaha untuk mengemukakan kertas cadangan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Wilayah Persekutuan, untuk menyediakan sebuah velodrom baharu sebagai pusat latihan untuk atlet berbasikal Kuala Lumpur.
Bagi atlet muda berbasikal Kuala Lumpur, Ahmad Syafiq berpendapat pembukaan sementara Velodrom Kuala Lumpur memberi kelebihan kepadanya dan pasukan, untuk menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi kejohanan akan datang.
"Sangat seronok dapat jalankan latihan di velodrom ini sebab sebelum ini kami hanya berlatih di jalan raya, dan lokasi lagi dekat untuk berlatih berbanding Velodrom Nasional di Nilai yang memerlukan kos untuk ke sana,” kata atlet berusia 18 tahun itu.
Sementara itu, Joo Ngan menyifatkan velodrom itu sebagai pusat latihan terbaik kerana strukturnya yang terbuka dan terdedah kepada matahari, selain mempunyai permukaan trek simen berbanding velodrom tertutup dengan permukaan trek kayu.
Berdasarkan laporan media sebelum ini, DBKL telah menjual kawasan seluas 4.8 hektar itu kepada pihak pemaju dan kali terakhir venue itu menganjurkan kejohanan adalah pada Mac 2017, sebelum ia ditutup untuk dirobohkan bagi memberi laluan untuk pembinaan projek komersial. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!