Rentak Harimau Malaya belum sempurna

Antara aksi menarik perlawanan Malaysia menentang Kemboja pada Isnin. - Foto: Football Association of Malaysia
Antara aksi menarik perlawanan Malaysia menentang Kemboja pada Isnin. - Foto: Football Association of Malaysia
A
A
A

PENYERANG Harimau Malaya, Muhammad Syafiq Ahmad mengakui persiapan yang singkat dan ketiadaan perlawanan persahabatan, memberi impak terhadap corak permainan pasukan pada saingan kejuaraan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.

Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata, kesan tersebut dapat dilihat pada prestasi skuad Harimau Malaya, yang bergelut mencari rentak di awal perlawanan ketika aksi pembukaan Kumpulan B menentang Kemboja semalam.

Justeru, menurut beliau komunikasi adalah elemen terpenting dalam pasukan ketika ini, untuk barisan pemain menjayakan setiap perancangan taktikal jurulatih pada perlawanan akan datang.

"Pasukan kita sekarang bergerak selangkah demi selangkah sebab kalau sebelum ini kita ada aksi pemanas badan tapi kali ini tiada.

"Aksi semalam menunjukkan berapa lama kami tidak bermain sekali (sebagai sebuah pasukan), agak bergelut pada awal tetapi makin lama kami mula dapat rentak.

"Bagi diri saya pula banyak perlu diperbaiki, ini perlawanan pertama saya sebagai pemain utama selepas agak lama, jadi kena ambil masa untuk capai prestasi sebenar dan kemenangan semalam beri keyakinan untuk aksi seterusnya,” kata beliau pada sidang media skuad kebangsaan secara maya pada Selasa.

Malaysia membuka kempen kejuaraan dengan langkah kanan selepas membenam Kemboja 3-1 di Stadium Bishan, namun Muhammad Syafiq tidak berada dalam senarai penjaring dengan Muhammad Safawi Rasid, Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan M Kogileswaran masing-masing meledakkan satu gol.

Bagi Muhammad Syafiq, situasi itu tidak menggusarkannya memandangkan kemenangan pasukan adalah keutamaan menjelang aksi menentang Laos pada Khamis ini, sebelum menutup saingan kumpulan berdepan juara bertahan Vietnam dan Indonesia masing-masing pada 12 dan 19 Disember ini.

Artikel Berkaitan:

"Bagi saya siapa yang menjaringkan gol tidak penting, yang penting kita menang dan bermain dengan baik. Kalau tanya siapa tak nak jaringkan untuk pasukan negara tapi setiap corak permainan jurulatih yang tentukan. Selagi saya boleh berikan sumbangan sama ada membantu atau jaringkan gol, ia sudah baik,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan rakan sepasukannya yang juga pemain naturalisasi negara Guilherme De Paula selepas dikeluarkan pada aksi menentang Kemboja, beliau berkata, penyerang berusia 35 tahun itu telah berikan yang terbaik di padang.

"Bagi saya dia dah cuba buat terbaik cuma belum sampai waktu dia jaringkan gol, sebagai seorang penyerang mesti akan kecewa bila ada satu atau dua percubaan tak dapat gol, saya nampak dia cuba buktikan sesuatu untuk bantu pasukan,” kata Muhammad Syafiq.

Semalam, media antarabangsa melaporkan De Paula menunjukkan reaksi tidak bersemangat kesukanan, selepas beliau digantikan dengan penyerang muda Luqman Hakim Shamsudin, pada babak kedua perlawanan itu.

Menurut laporan tersebut, De Paula didakwa menendang botol air di luar padang sejurus digantikan, kemudian merenung tajam ke arah penonton yang memberikan tepukan kepadanya, sebelum membaling botol air ke bangku simpanan pasukan negara dan terus menuju ke bilik persalinan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!