KPDNHEP tingkat penguatkuasaan hingga 31 Disember

Azman Adam
Azman Adam
A
A
A

KUALA LUMPUR - Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) mula berkuat kuasa di seluruh negara hari ini (7 Disember) hingga 31 Disember dalam usaha kerajaan untuk menstabilkan harga barangan keperluan dan memastikan bekalan itu mencukupi di pasaran.

Antara barangan disenaraikan di bawah skim itu ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, kacang panjang, cili merah, tomato, sawi hijau, kubis bulat import (dari Indonesia dan China) serta timun.

Pengarah Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, pematuhan skim itu melibatkan setiap peringkat dalam rantaian pembekalan barangan keperluan.

“Sebanyak 12 barangan yang disenarai SHMKM terdiri daripada tiga kategori ayam, tiga gred telur ayam dan sayur-sayuran pilihan ramai adalah barangan yang berpotensi untuk naik lagi harganya jika tiada kawalan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan di Pasar Sri Gombak, Selangor dekat sini pada Selasa.

Azman berkata, berikutan pelaksanaan SHMKM, Bahagian Penguat kuasa KPDNHEP akan meningkatkan pemeriksaan pemantauan harga untuk memastikan pematuhan terhadap skim melibatkan kira-kira 2,200 pegawai penguat kuasa dan 1,000 pegawai pemantau harga di seluruh negara.

Azman menyeru pengguna untuk menyalurkan aduan kepada KPDNHEP supaya tindakan boleh diambil sekiranya terdapat sebarang kenaikan harga melebihi harga maksimum ditetapkan.

Sementara itu, di KELANTAN, KPDNHEP negeri mengeluarkan 166 notis terhadap peniaga yang dilaporkan menjual barangan pada harga mahal sejak awal Januari hingga 6 Disember.

Pengarahnya, Adnan Abd Rahman berkata, notis itu dikeluarkan supaya peniaga terlibat memberikan penjelasan munasabah mengenai harga barangan yang dijual hingga menyebabkan pengguna membuat aduan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, notis diserahkan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dengan peniaga diminta memberikan jawapan mengenai harga barangan jualan mereka seperti ayam yang mencapai hingga RM9 sekilogram.

“Daripada 166 notis yang diserahkan itu, 52 daripadanya membabitkan peniaga ayam, peniaga telur (12), peniaga sayur (12) dan peniaga barangan lain (90),” katanya kepada pemberita selepas tinjauan hari pertama penguatkuasaan SHMKM di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Tunjung, di sini.

Di MELAKA, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem berkata, 100 anggota dan pengawai penguat kuasa KPDNHEP Melaka akan digerakkan di semua peringkat rantaian perniagaan bagi melakukan pemeriksaan sepanjang pelaksanaan SHMKM.

“Pemeriksaan akan dilakukan secara berkala setiap hari membabitkan peringkat ladang, pengeluar, peruncit dan peniaga bagi memastikan tiada pihak menaikkan harga 12 barangan keperluan yang disenaraikan SHMKM,” katanya.

Hee Sem berkata, pihaknya menerima enam aduan kenaikan barangan membabitkan telur dan ayam dalam tempoh 1 Januari hingga 6 Disember.

Di PERAK, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Yunus Jamhari yang ditemui selepas meninjau pelaksanaan hari pertama SHMKM di sebuah pasar raya barangan keperluan di Ipoh berkata, tahap pematuhan adalah baik.

"Seramai 176 pegawai penguat kuasa KPDNHEP Perak dan 79 pegawai pemantau harga akan terus membuat pemantauan pematuhan SHMKM di seluruh negeri sepanjang pelaksanaan skim berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, sejak awal November, KPDHEP Perak menerima lapan aduan dengan lima di bawah kesalahan AKHAP 2011 manakala tiga lagi mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!