Jangan biar lebih ramai pelajar tercicir
BERITA mengenai 21,316 pelajar yang berhenti sekolah sejak Mac 2020 mengejutkan negara, apatah lagi ketika dunia pendidikan belum pulih sepenuhnya akibat pandemik Covid-19.
Angka itu menunjukkan kebimbangan yang perlu diatasi oleh semua pihak dalam usaha memastikan jumlah keciciran pelajar tersebut tidak bertambah dan menjadi lebih buruk pada masa akan datang.
Beberapa faktor digariskan yang menyumbang kepada masalah berkenaan, antaranya kemelut kewangan ibu bapa terutama golongan B40 yang terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan menjadi punca utama pelajar terpaksa berhenti sekolah.
Ia adalah masalah paling besar dihadapi terutama golongan berpendapatan rendah sehingga menyebabkan anak-anak mereka tercicir daripada arus pendidikan.
Walaupun kerajaan ada memberikan bantuan dari segi kewangan dalam tempoh PKP tersebut, namun ia tidak cukup terutama jika ibu bapa mempunyai anak yang ramai.
Malah, pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) turut menyebabkan pelajar tertekan, sekali gus mengakibatkan mereka semakin hilang minat dan semangat untuk belajar.
Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam kajian tentang kesediaan guru melaksanakan PdPR menunjukkan banyak masalah dihadapi untuk menjayakan sistem tersebut.
Sebanyak 70 hingga 80 peratus guru melaporkan cabaran utama melaksanakan PdPR adalah kesukaran mendapatkan perhatian pelajar, selain masalah kekurangan peralatan, kelemahan infrastruktur dan capaian internet.
Tidak fokus
Kehadiran pelajar yang mengikuti PdPR pula tidak mencapai 80 peratus dan kebanyakan mereka tidak fokus kerana suasana rumah yang tidak kondusif.
Pendidikan mempunyai fungsi yang cukup penting kepada negara, mencakupi banyak cabang yang akhirnya akan menyumbang kepada keupayaan negara dari sudut ekonomi.
Kesan keciciran pelajar dalam pendidikan amat besar kepada negara dan akan memberikan masalah terutama bagi menyediakan lebih ramai tenaga kerja berkualiti pada masa akan datang.
Ia juga akan turut menyumbang kepada punca pendapatan rakyat. Kebiasaannya tingkat gaji seseorang diukur kepada sejauh mana pengalaman dan pendidikan dimiliki individu berkenaan.
Malah, jurang antara rakyat yang berpendidikan dan keciciran pendidikan akan bertambah luas, sekali gus menyukarkan rancangan kerajaan mahukan semua rakyat mendapat peluang sama rata bagi membangunkan diri, keluarga dan masyarakat.
Lebih membimbangkan jika aspek pendidikan tidak diambil serius, nilai murni dan moral yang tinggi sukar untuk dipupuk dalam kalangan rakyat yang akan memberikan kesan besar kepada negara.
Walaupun dikatakan angka 21,316 itu tidak terlalu tinggi berbanding masalah sama yang berlaku pada tahun 2018 dengan 34,074 pelajar berhenti sekolah, namun langkah segera perlu diambil oleh semua pihak.
Kerajaan mungkin boleh menjadikan masalah berkenaan sebagai isu nasional yang perlu penglibatan semua pihak berkepentingan untuk mengatasi masalah keciciran pelajar.
Langkah pertama dan paling penting adalah untuk mengenal pasti seramai 21,316 pelajar yang berhenti sekolah. Cari apakah sebenarnya kekangan yang dihadapi oleh pelajar atau ibu bapa mereka.
Jika kekangan ekonomi ibu bapa menjadi faktor utama, maka satu bentuk bantuan menyeluruh perlu dilaksanakan segera oleh kerajaan seperti memberikan bantuan kewangan, selain kaunseling kepada ibu bapa dan anak mereka yang tidak mahu meneruskan pelajaran.
* Muhammad Zakwan Nazaraly ialah wartawan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!